PAS sedia runding sertai kerajaan ikut 'pintu belakang'


SM Amin

Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut hadir di Perhimpunan Agung Umno 2019, di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 6 Disember, 2019.

PAS terbuka untuk menerima apa juga tawaran untuk membentuk kerajaan baharu termasuk melalui rundingan sebalik tabir dengan mana-mana parti, kata setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

Parti Islam itu akan memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk menjadi kerajaan, katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019.

“Seperti di Parlimen, ada pintu depan, dan ada pintu belakang, kita ada pintu tepi. Kita boleh masuk dari mana-mana pintu. Saya OK.

“Macam bermain bola, jika ada kesilapan daripada pihak lawan, asalkan anda boleh menjaringkan gol, ia tidak kisah,” katanya. 

Beliau mengulas jaminan Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar di perhimpunan itu hari ini yang menegaskan Umno tidak akan tergesa-gesa menerima tawaran membentuk kerajaan.

Tegas Zahid, Umno akan membina kekuatan sendiri mengikut undang-undang untuk merampas Putrajaya.

“Kita tidak impikan perubahan kerajaan melalui pintu belakang yang terbuka luas. Walaupun ketika ini pintu depan dan pintu belakang terbuka, kita tetap memilih pintu hadapan.

“Kita akan bina kerajaan sendiri mengikut lunas-lunas demokrasi seperti termaktub dalam perlembagaan persekutuan,” katanya dalam ucapan hari ini.

Ura-ura mengenai rundingan sebalik tabir untuk membentuk kerajaan baharu itu dikaitkan dengan gerakan yang didakwa dikaitkan dengan bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin yang didakwa menggerakkan usaha itu oleh Pakatan Harapan bagaimanapun menafikan berbuat demikian. – 6 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen