12 bulan untuk pasukan khas atasi kelemahan CAAM, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Pasukan khas itu akan diterajui oleh bekas ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Kok Soo Chon dan dibantu oleh lapan orang pakar penerbangan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 November, 2019.

KEMENTERIAN Pengangkutan sudah membentuk sebuah pasukan tindakan khas untuk mengatasi kelemahan yang memyebabkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diturunkan kepada Kategori 2 oleh Pihak Berkuasa Persekutuan Penerbangan Awam AS (FAA), kata Menterinya Anthony Loke.

Katanya, pasukan khas itu akan diterajui bekas ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Kok Soo Chon dan dibantu lapan orang pakar penerbangan.

“Hari ini, Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk membentuk pasukan tindakan khas dan mengatasi semua hasil penemuan disebut FAA dalam laporan auditnya.

“Pasukan tindakan khas itu akan memantau langkah mengatasi kelemahan dibuat CAAM dan individu dalam badan pemantau itu semuanya calon bebas. Tiga daripada lapan pakar di dalamnya adalah pakar luar.

“Tempoh masa untuk membetulkan kelemahan adalah 12 bulan dan kita berharap dapat mencapainya dalam tempoh diberikan. Selepas itu, kita akan panggil semula FAA untuk melakukan satu lagi audit supaya kita boleh dikeluarkan daripada Kategori 2 dan dimasukkan ke dalam Kategori 1,” kata Loke pada sidang media di Ibu Pejabat CAAM, hari ini.

Isnin lepas, FAA mengumumkan ia menurunkan rating keselamatan udara CAAM kepada Kategori 2 kerana gagal mematuhi standard keselamatan antarabangsa dikeluarkan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Penilaian itu terpakai kepada pihak berkuasa penerbangan awam dan bukannya syarikat penerbangan atau lapangan terbang, tetapi rating itu bermakna CAAM tidak boleh menambah laluan penerbangan masuk dan keluar AS.

Satu-satunya penerbangan Malaysia yang mempunyai laluan terus ke AS adalah AirAsia X Bhd ke Honolulu, Hawaii melalui Osaka, Jepun. – 18 November, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen