Syed Saddiq pertahan pendirian boikot Foodpanda


Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman berkata beliau hanya menyokong korporat yang adil kepada pekerja dan pengguna.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2019.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan pendiriannya bahawa perniagaan Foodpanda Malaysia Sdn Bhd patut diboikot kerana angkuh, selepas Perdana Menteri menegaskan pendirian Menteri Belia dan Sukan itu bukan keputusan Jemaah Menteri.

Syed Saddiq berkata mesyuarat kabinet minggu lalu memutuskan menasihati Foodpanda supaya kembali kepada skim upah asal, selepas pekerjanya melancarkan mogok membantah skim baharu.

Foodpanda bagaimanapun semalam mengumumkan kekal dengan skim baharu kerana ia keputusan yang baik untuk penghantar makanannya.

“Isu baru timbul semalam dan saya kekal dengan pendirian peribadi saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Saddiq juga mengulangi bahawa Foodpanda angkuh apabila enggan akur nasihat kerajaan supaya kembali kepada sistem upah pekerja yang asal.

“Keangkuhan bukan jalan penyelesaian.

“Saya hanya sokong korporat yang adil kepada pekerja dan pengguna,” katanya.

Dr Mahathir awal hari ini menjarakkan diri beliau dan jemaah menteri daripada kenyataan Syed Saddiq mengenai boikot ke atas Foodpanda.

Katanya, gesaan boikot Foodpanda bukan urusan kerajaan dan tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Penghantar makanan Foodpanda awal minggu lalu melancarkan mogok membantah skim pembayaran baharu yang mereka dakwa menindas dan tidak adil.

Pada malam menjelang mesyuarat kabinet pada Rabu lepas, lebih 100 penghantar makanan mengadu nasib kepada Syed Saddiq berhubung skim baharu itu.

Selain nasihat kepada Foodpanda, Jemaah Menteri juga membentuk sebuah jawatankuasa dianggotai tiga kementerian untuk mengkaji kedudukan dan masa depan ekonomi gig di Malaysia. – 8 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen