Amanah gesa elak main isu perkauman pada PRK Tanjung Piai


Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar berkata politik yang berteraskan perkauman akan meretakkan teras perpaduan nasional yang dibina selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2019.

SEMUA pihak diminta mengelak daripada memainkan isu perkauman dalam kempen Pilihan Raya Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan bulan depan, bagi memelihara kesejahteraan rakyat berbilang kaum negara ini.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar berkata politik yang berteraskan perkauman akan meretakkan teras perpaduan nasional yang dibina selama ini.

“Bagi saya tidak ada masalah kalau memihak kepada pembangkang sebab masih kekal kerajaan yang ada untuk memerintah, apa yang penting bagi saya ialah semua pihak harus menghindarkan isu-isu yang akan merosakkan hubungan antara kaum.

“Kita kena memperlihatkan kematangan dalam kita berpolitik, memainkan isu-isu yang boleh membawa kerenggangan hubungan antara kaum adalah tidak baik dalam pertumbuhan ekonomi negara kita.

“Ini juga akan menjejaskan penghormatan dunia kepada Malaysia yang dilihat mempunyai keunikan kerana kepelbagaian latar belakang agama, bangsa, warna kulit yang boleh hidup dalam suasana harmoni dan ini satu keunikan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Newspaper-in-Education (NiE) anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan kerjasama Star Media Group di Sekolah Menengah Kebangsaan Jabi di Pokok Sena, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena turut mengakui Pakatan Harapan (PH) akan menerima cabaran yang sengit pihak pembangkang dalam usaha menawan semula Parlimen Tanjung Piai.

“Kita akan terus bekerja walaupun sukar dan kita perlu bergerak memberikan input atau maklumat yang lebih jelas kepada masyarakat dan saya percaya rakyat mahukan kelangsungan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini manakala tarikh penamaan calon ditetapkan 2 November serta pengundian awal akan diadakan pada 12 November. – Bernama, 3 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen