Berhenti salahkan industri minyak kelapa sawit punca jerebu, kata menteri


BERHENTI salahkan industri minyak kelapa sawit penyebab jerebu kerana banyak syarikat yang mematuhi piawaian pertanian yang mapan, kata Teresa Kok.

Menteri Industri Utama itu berkata, syarikat minyak sawit melanggan inisiatif yang bertujuan mempromosikan pengeluaran minyak kelapa sawit lestari seperti Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan skim pensijilan Kelapa Sawit Malaysia (MSPO) yang melarang pembakaran terbuka.

“Tidak adil bagi orang ramai untuk terus menunding jari terhadap industri minyak kelapa sawit. Itu adalah kebakaran hutan dan sekarang pula musim El Nino.

“Di banyak kawasan di Borneo, Indonesia dan semenanjung Malaysia, banyak tumbuh-tumbuhan dan pokok ditanam di tanah gambut yang boleh mewujudkan api dengan mudah,” katanya dipetik oleh portal Star hari ini.

Dalam laporan Kok berkata, kebakaran itu juga mungkin disebabkan oleh orang lain termasuk pekebun kecil dan penduduk di kawasan yang membersihkan tanah untuk menanam pelbagai tanaman.

“Kita perlu adil, kita telah melihat usaha Indonesia untuk memadamkan kebakaran bahkan Presiden Joko Widodo juga telah turun padang,” katanya. – 27 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen