Najib boleh bantu BN menang PRU15, kata Zahid


Diyana Ibrahim

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tiada masalah dengan kritikan terhadapnya kerana melantik Najib Razak sebagai penasihat parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 11 Julai, 2019.

NAJIB Razak boleh membantu Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya umum akan datang (PRU15), dan kerana itu beliau dilantik sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas Zahid, beliau tiada masalah dengan kritikan terhadapnya kerana melantik Najib sebagai penasihat parti.

Namun katanya, semua kritikan itu sama sekali tidak boleh menafikan kelebihan yang ada pada Najib yang sudah banyak berjasa dan menyumbang kepada parti.

“Jika terdapat tokoh atau individu yang mempunyai idea terbaik, bagi melakukan sesuatu yang berbentuk proaktif, ia amat dialu-alukan,

“Tetapi tidak begitu sesuai jika pandangan yang berbentuk mengetepikan kelebihan seseorang dalam sumbangannya apatah lagi mempunyai pengaruh yang boleh memenangi PRU15,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Menurut Zahid, pelantikan Najib yang masih relevan dalam politik Malaysia turut dipersetujui Ahli Majlis Tertinggi Umno dan komponen BN iaitu MCA dan MIC.

“Kemungkinan kita akan melantik tokoh lain juga (dari MCA dan MIC) dalam lembaga penasihat BN,” katanya.

Zahid diminta mengulas kritikan bekas pemimpin kanan Umno yang tidak bersetuju dengan pelantikan Najib sebagai penasihat BN.

Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan pelantikan itu “langkah ke belakang” yang boleh melemahkan parti.

Beliau menyalahkan Najib sebagai punca utama BN kalah dalam pilihan raya umum setahun yang lalu.

Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula membayangkan kurang senang dengan pelantikan tersebut. Beliau membuat kenyataan “tidak gembira” itu hanya sehari selepas mengaku selesa bersama Umno dan tidak akan meninggalkan parti untuk masuk Bersatu.

Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat pada Selasa malam memutuskan melantik Najib mempengerusikan lembaga penasihatnya.

Najib dalam reaksi awalnya menerima pelantikan itu dan mengajak BN bersatu untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

“Saya menerima pelantikan sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN. 

“Kita lawan PH bersama. Tumbangkan kerajaan yang hanya mementingkan kroni dan menyusahkan rakyat ini,” tulisnya di Facebook, beberapa jam selepas keputusan mesyuarat itu diumumkan. – 11 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen