Klinik kesuburan disaman kerana tersilap prosedur IVF


Sepasang suami isteri di California memfailkan saman bagi satu kes yang digambarkan sebagai insiden paling teruk melibatkan prosedur IVF sehingga menyebabkan seorang wanita asing melahirkan anak lelaki mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Julai, 2019.

SEPASANG suami isteri di California memfailkan saman bagi satu kes yang digambarkan sebagai insiden paling teruk melibatkan prosedur IVF sehingga menyebabkan seorang wanita asing melahirkan anak lelaki mereka.

Anni dan Ashot Manukyan, tinggal di pinggir bandar Los Angeles di Glendale, berkata embrio mereka serta pasangan lain tidak dikendali dengan betul oleh Pusat Kesuburan CHA.

Akibatnya, seorang wanita asing yang tidak dikenali di New York melahirkan anak mereka pada Mac selepas dua embrio - mereka dan pasangan lain - tersilap dimasukkan ke dalam rahim.

Wanita New York, berketurunan Korea-Amerika, sepatutnya melahirkan anak perempuan kembar tetapi mendapat dua bayi lelaki - petunjuk pertama ada sesuatu yang tidak kena.

Manukyans memberitahu pemberita pada Rabu mereka tidak menyedari mempunyai seorang lagi anak lelaki sehinggalah klinik menghubungi untuk mendapatkan DNA agar dapat menentukan sama ada anak yang dilahirkan pasangan dari New York itu adalah milik mereka.

Menambah kesakitan kepada penghinaan yang diterima, Anni mendapat tahu pada masa itu beliau dimasukkan dengan embrio - yang gagal disenyawakan - adalah milik pasangan lain yang juga pelanggan klinik kesuburan itu.

Manukyans berkata selepas proses undang-undang yang lama, mereka akhirnya mendapat hak penjagaan anak pada Mei, ketika bayi itu berusia enam minggu.

“CHA meletakkan tiga keluarga dalam neraka dan kehidupan kami tidak akan sama,” kata Ashot Manukyan kepada wartawan. “Kami berjuang untuk mendapatkan anak lelaki kami, dan sekarang kami akan berjuang untuk memastikan ini tidak akan berlaku lagi.”

Identiti pasangan ketiga belum didedahkan.

Adam Wolf, seorang peguam yang mewakili Manukyans, memberitahu AFP insiden itu adalah “salah satu tragedi pusat kesuburan paling buruk yang pernah saya lihat.”

“Anni dan Ashot telah hancur kerana mereka tidak dapat membawa anak mereka ke dunia, memegang anak mereka pada saat-saat pertama dalam hidupnya,” katanya.

“Pusat kesuburan itu meletakkan Anni dan Ashot dalam kedudukan paling teruk yang boleh dibayangkan,” katanya. “Embrio mereka dipindahkan kepada orang asing dan kemudian embrio pasangan yang tidak dikenali dipindahkan kepada Anni.”

Seorang wanita yang menjawab telefon di klinik kesuburan pada petang Rabu berkata pusat itu ditutup awal dan tiada wakil yang boleh didapati untuk memberikan komen.

Pasangan dari New York terbabit juga memfailkan saman. – AFP, 11 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen