LANGSUNG: Saya diberitahu siasatan hanya mengenai Najib, kata saksi


Saksi ke-46, Shuzairizman Shuib berkata arahan diterima berhubung serbuan itu tidak memberitahunya secara khusus untuk menyiasat perkara berkaitan Jho Low dengan yang lain, hanya berkaitan dengan bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Julai, 2019.

SAKSI ke-46 pihak pendakwa, bekas pengerusi Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Wan Abdul Aziz Wan Abdullah akan kembali memberi keterangan sebagai saksi semasa perbicaraan SRC International yang dikaitkan dengan Najib Razak masuk hari ke-36 hari ini.

Semalam, Wan Aziz memberitahu mahkamah beliau bertemu Najib pada 2011 dan diminta bekas perdana menteri mempercepatkan kelulusan pinjaman pertama SRC International daripada KWAP.

“Najib meminta saya mempercepatkan kelulusan pinjaman SRC International daripada KWAP. Beliau juga memberitahu saya pinjaman sebanyak RM2 bilion memadai, dan bukannya RM1 bilion.

“Pertemuan ini hanya melibatkan kami berdua di Pejabat Perdana Menteri,” katanya, sambil menambah tidak mengingat tarikh pertemuan dan dia tidak membuat sebarang catatan.

Wan Aziz, yang juga ketua setiausaha Perbendaharaan pada masa itu, berkata panel pelaburan KWAP sebelum ini memutuskan pada mesyuarat 5 Julai 2011, ia tidak dapat meluluskan permintaan oleh SRC International sebanyak RM3.95 bilion, kerana ia berisiko tinggi.

Bagaimanapun, semasa disoal balas kemudian, Wan Aziz bersetuju dengan cadangan pasukan pembela apa yang dikatakan oleh Najib pada mesyuarat persendirian itu tidak bermakna satu “arahan”.

Wan Aziz bersetuju dengan peguam bela Farhan Read bahawa ia sebenarnya adalah pengurangan daripada RM3.95 bilion - jumlah asal diminta oleh SRC International.

Jaminan kerajaan pertama diluluskan pada 26 Ogos 2011, dan pinjaman pertama sebanyak RM2 bilion dikeluarkan daripada KWAP kepada SRC International pada 29 Ogos 2011.

Bagaimanapun, pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion dikeluarkan sebelum jaminan kerajaan kedua disediakan.

KWAP kemudiannya berpegang kepada “comfort letter” daripada Kementerian Kewangan yang jaminan itu akan datang dan pinjaman itu boleh diluluskan.

Pinjaman kedua RM2 bilion kepada SRC International dikeluarkan pada 28 Mac 2012.

Pertuduhan terhadap Najib dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International, dengan beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Beliau berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah jenayah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa.

Najib, 66, diwakili sekumpulan peguam diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah. Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan dengan Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebagai hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

5.07pm: Perbicaraan bersambung pada jam 9 pagi Isnin.

4.51pm: Hakim Nazlan memutuskan butiran transaksi kredit boleh diterima.

4.36pm: Sithambaram berkata keterangan dari saksi tidak boleh diterima jika tiada dokumen sokongan .

4.32pm: Pendakwa Sithambaram membantah permohonan itu. Dua perkara yang pertama adalah bukti relevan bagi perbicaraan 1MDB, bukan perbicaraan ini, katanya.

4.03pm: Harvinderjit memohon kepada Hakim Nazlan untuk bertanya tiga perkara kepada saksi:

  1. Untuk saksi mengesahkan transaksi dari akaun AmBank yang berakhir dengan nomobr “694”.
  2. Untuk saksi mengesahkan wang yang dikeluarkan dari akaun berjumlah RM620 juta.
  3. Untuk saksi mengesahkan enam lagi transaksi berjumlah RM50 juta dari akaun AmBank berakhir dengan nombor “880”.

3.59pm: Prosiding bersambung dan Shuzairizman kembali duduk di kandang saksi.

3.39pm: Nazlan membenarkan mahkamah berehat selama 10 minit.

3.38pm: Harvinderjit memohon kebenaran Nazlan supaya saksi dibenarkan tinggalkan kandang saksi kerana beliau masih belum menyemak transkrip sembang setebal 500 halaman dan pemeriksaan balas akan disambung pada Isnin.

Pihak pendakwa tidak membantah.

3.08pm: Harvinderjit menyemak laporan saksi dengan semua log sembang dari BlackBerry Joanna Yu.

2.42pm: Katanya, beliau tidak perlu mencari barang rampasan kerana Joanna menyerahkan semua kepadanya.

2.39pm: Saksi berkata beliau antara yang pertama dalam pasukan serbuan itu, masuk ke Ambank dan bertemu Joanna Yu.

2.38pm: Mahkamah bersambung semula selepas rehat dengan Harvinderjit menyambung soal balasnya terhadap Shuzairizman. Beliau bertanya tentang serbuan dijalankan oleh saksi bersama pasukannya pada 2015.

12.45pm: Saksi mengatakan arahan diterima berhubung serbuan itu tidak memberitahunya secara khusus untuk menyiasat perkara berkaitan Jho Low dengan yang lain, hanya berkaitan dengan perdana menteri.

12.29pm: Shuzairizman berkata “tiada yang khusus” apabila ditanya sama ada terdapat perbualan antara Yap dan Yu mengenai kes itu.

Pemacu cakera luara yang dirampas mengandungi dokumen.

12.21pm: Komunikasi dibuat melalui mesej teks, bukan WhatsApp atau Telegram, kata Shuzairizman.

12.09pm: Harvinderjit memulakan menyoal balas Shuzairizman.

11.56am: Semasa analisis BlackBerry, Shuzairizman tidak dapat memadankan nombor kenalan.

Nombor telefon tidak dipaparkan, hanya PIN BlackBerry. Beliau tidak dapat memadankan PIN BlackBerry dengan senarai nama yang diberikan kepadanya.

11.42am: Shuzairizman berkata dua hari kemudian, pegawai penyiasat BNM, Ahmad Farhan Sharifuddin meminta beliau menjalankan analisis dan pengekstrakan terhadap Blackberry yang dirampas.

Beliau menulis laporan selepas pengekstrakan dan menyimpan maklumat pada DVD.

Telefon BlackBerry berada pada Shuzairizman tetapi memberikannya kepada Farhan, yang kemudian menyerahkan peranti tersebut kepada SPRM.

11.41am: Shuzairizman berkata selain peranti digital, mereka menyerahkan pemacu pena 4GB daripada Daniel.

Beliau merampas pemacu bersaiz 8GB dan Blackberry daripada Yu dan telefon Samsung Galaxy daripada Yap.

Semua barang itu dibawa pulang ke pejabatnya dan disimpan dalam loker.

11.35am: Shuzairizman berkata beliau pergi ke AmBank dengan pasukannya. Apabila sampai di cawangan, mereka pergi ke tingkat 24 bangunan.

Mereka kemudian bertemu dengan Yu dan memberitahu beliau daripada BNM dan mahu mendapatkan peranti digitalnya. Beliau berkata berjumpa dengan Yap tetapi Daniel sedang bercuti pada hari itu.

11.33am: Pada 6 Julai 2015, beliau berada di jabatan yang sama dan diminta pergi ke AmBank di Jalan Raja Chulan.

Beliau diminta mengumpul bukti daripada peranti digital. Secara khususnya, ia adalah untuk mengumpulkan bukti mengenai tiga kakitangan di AmBank - iaitu Joanna Yu, Crystal Yap dan Daniel, tetapi beliau tidak ingat nama akhir Daniel.

11.28am: Saksi ke-46 mengambil tempat untuk memberi keterangan - Shuzairizman Shuib - seorang penganalisis di Jabatan Forensik Digital, Sistem dan Kaedah, Bank Negara Malaysia.

Tugasnya adalah untuk menganalisis bukti digital bagi siasatan BNM. Beliau juga membantu menjalankan siasatan di bawah Akta BNM.

11.06am: Saksi dibenarkan keluar daripada kandang saksi.

Mahkamah berhenti rehat selama 10 minit.

Bekas pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk kembali memberi keterangan dalam perbicaraan SRC International, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Julai, 2019.

10.07am: Lembaga KWAP cuba mengehadkan tujuan pinjaman daripada modal kerja kepada hanya “pelaburan dalam sumber semula jadi”.

10.00am: Wan Aziz berkata ia adalah formaliti untuk meluluskan pinjaman KWAP sebanyak RM2 bilion kedua kerana mereka sudah mendapat jaminan kerajaan.

Beliau bersetuju dengan cadangan Farhan bahawa mereka tidak memerlukan kelulusan Najib untuk memberi pinjaman itu kerana jaminan kerajaan sudah mencukupi.

9.45am: Farhan bertanya sama ada beliau boleh mengesahkan atau menafikan tandatangan Najib dipalsukan. Wan Aziz berkata beliau menafikannya.

9.42am: Wan Aziz diminta mengesahkan 100% bahawa tandatangan resolusi para pengarah SRC International adalah milik Najib. Beliau berkata ya, itu adalah milik Najib.

KWAP mempunyai resolusi para pengarah kerana Nik Faisal mengemukakannya kepada KWAP sebagai sebahagian daripada permohonan pinjaman.

9.34am: Menteri Kewangan menasihati SRC International mendapatkan pinjaman RM2 bilion daripada KWAP. Ini dinyatakan dalam resolusi pekeliling pengarah untuk SRC International yang ditandatangani oleh Nik Faisal.

9.28am: Bagi pinjaman RM2 bilion yang kedua, jaminan kerajaan diberikan pada Februari 2012 sebelum SRC International membuat permohonan pinjaman kepada KWAP pada Mac.

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk kembali memberi keterangan dalam perbicaraan SRC International, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Julai, 2019.

9.25am: Farhan bertanya jika kehadiran Wan Aziz dalam mesyuarat itu akan menghalang keputusan mereka berkaitan dengan kelulusan pinjaman.

Wan Aziz berkata mesyuarat itu adalah “bebas” dan mereka semua boleh memberikan pendapat mereka dengan bebas.

Beliau menambah terpaksa mengumumkan keududkannya kerana terlibat dengan KWAP dan Menteri Kewangan Diperbadankan.

9.23am: Wan Aziz berkata Menteri Kewangan Diperbadankan secara langsung di bawah Kementerian Kewangan dan sebagai ketua setiausaha Perbendaharaan, beliau terpaksa menarik diri daripada mesyuarat panel pelabur untuk membincangkan pinjaman KWAP.

9.18am: Mahkamah bersidang dengan peguam Farhan Read meneruskan soal balas saksi Wan Aziz semalam.

Najib berpakaian sut biru muda duduk di kandang tertuduh.

Farhan menyoal mengenai mesyuarat panel pelaburan KWAP dengan Wan Aziz. – 11 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen