Suspek tinggal bersama Siti Kharina, kata polis


SUSPEK utama kes bunuh Siti Kharina Mohd Kamarudin tinggal bersama mangsanya menyewa di unit kondominium tempat mayat ketua jururawat itu ditemui Rabu lalu di Cyberjaya, Selangor, lapor Sinar Harian.

Laporan itu memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat mengesahkan mereka menyewa bersama sejak Januari lalu.

“Suspek lelaki warga Nigeria itu juga mempunyai kad akses masuk ke kondominium berkenaan dan kediaman itu disewa atas nama Siti Kharina.

“Berdasarkan siasatan polis ke atas suspek dan juga keterangan saksi-saksi lain mendapati, Siti Kharina hanya secara on off (tidak setiap hari) menginap di kondominium berkenaan,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.

Siasatan polis turut mencakupi kemungkinan suspek terlibat dalam jenayah lain seperti dadah atau penipuan, kata Fadzil.

Sementara itu, Bernama melaporkan Fadzil berkata suspek mengenai mangsa melalui media sosial tahun lepas.

“Dia memasuki negara ini menggunakan pas lawatan pelancong sejak Januari lepas… dia telah menetap lebih masa di negara ini,” katanya seperti dipetik Bernama.

Dalam pada itu, Fadzil berkata polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi sementara siasatan sudah menemui beberapa petunjuk, yang bagaimanapun tidak akan didedahkan kepada umum.

“Bagaimanapun, dengan penahanan tiga suspek ini, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai berjaya diselesaikan,” katanya lagi.

Semalam, seorang lelaki warga Nigeria direman tujuh hari bagi bagi membantu siasatan kes pembunuhan Siti Kharina. Lelaki berumur 36 tahun itu dikatakan suspek utama dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas jenayah bunuh.

Sehari sebelumnya, seorang wanita warga Nigeria dan seorang lelaki warga Pakistan ditahan, membawa kepada penangkapan suspek.

Polis menemui mayat Siti Kharina di Kondominium Third Avenue seminggu selepas beliau dilaporkan hilang dan tidak datang bertugas di Hospital Serdang. – 18 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen