Polis siasat saksi dakwaan ahli Parlimen mencabul


Kalidevi Mogan Kumarappa

Seorang wanita mendakwa kononnya beliau dicabul dan diaibkan oleh Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2019.

POLIS menyiasat beberapa saksi yang terlibat dalam dakwaan seorang wanita kononnya beliau dicabul dan diaibkan oleh Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan, kata polis Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata kes disiasat mengikut Seksyen 354 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, masing-masing bagi kesalahan mencabul kehormatan dan mengaibkan.

“Beberapa saksi sedang disiasat sebelum sebarang tindakan lanjut diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 354 membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau rotan atau gabungan mana-mana dua hukuman, sementara hukuman di bawah Seksyen 509 lebih rendah iaitu penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.

Wanita berumur 47 tahun itu, yang juga bekas pegawai penyelidik dan bendahari PKR Sungai Siput dalam laporannya kepada polis mendakwa dicabul dan diaibkan oleh ahli Parlimen itu sejak Disember lalu.

Laporan media mengenai dakwaan wanita itu bagaimanapun tidak menamakan ahli Parlimen berkenaan.

Namun Kesavan dalam satu kenyataan awal hari ini berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan tersebut, dan sedia memberi kerjasama penuh termasuk menyerahkan bukti.

Bekas calon naib presiden PKR itu berkata mengakui beliau kenal wanita itu pada 2017 sebagai sukarelawan semasa mengendalikan kempen membantah pemindahan pengundi ke kawasan Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang, semasa beliau jadi wakil rakyat kawasan itu.

Kesavan mendakwa wanita itu kemudian mula  campur tangan dalam urusan rumahtangganya dan memburuk-burukkan isterinya, sehingga menyebabkan beliau jadi kurang selesa.

“Sejak beberapa bulan lepas, dia mula mengaku bahawa dia pembantu khas saya. Dia menelefon pegawai-pegawai kerajaan (termasuk penolong pegawai daerah) dan memberi arahan bagi pihak saya, yang tidak disenangi pegawai-pegawai kerajaan,” katanya.

Menurut Kesavan, beliau tidak menghebohkan perkara itu sebelum ini kerana enggan memalukan wanita berkenaan yang sudah bersuami dan mempunyai dua anak.

Namun selepas berbincang dengan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, beliau membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Sungai Siput pada 4 Mei lepas. – 18 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen