Adun DAP mahu cubaan bunuh diri dikeluarkan daripada kesalahan jenayah 


Instagram jadi tempat remaja melepaskan perasaan dan mengungkap keinginan membunuh diri. – Gambar EPA, 18 Mei, 2019.

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada DAP menggesa supaya cubaan bunuh diri dikeluarkan dari senarai kesalahan jenayah berikutan kematian seorang remaja Sarawak akibat pengikut media sosial memberitahunya untuk membunuh diri dalam satu tinjauan dalam akaun Instagram miliknya.

Adun Subang Jaya, Michelle Ng dan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei, yang kedua-duanya berumur 29 tahun, berkata kesalahan di bawah Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali adalah tidak produktif dan kejam terhadap mangsa bunuh diri.

“Mereka perlukan pertolongan, bukan dipenjarakan, menganggap jenayah terhadap cubaan bunuh diri hanya menyebabkan mereka akan memastikan percubaan pertama mereka untuk membunuh diri berjaya,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Menurut mereka, menngeluarkan percubaan membunuh diri daripada kesalahan jenayah dapat membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu kesihatan mental dan supaya mereka sedar bahawa ia juga berisiko dihidapi semua orang “bahkan mereka yang kelihatan normal atau sangat berjaya”, dan menguruskan kesihatan mental adalah “kerja berterusan untuk mempertingkatkan kesihatan,” Tambah Lim lagi.

Ng, dalam kenyataan berasingan, berkata mengeluarkan cubaan bunuh diri daripada kesalahan jenayah adalah perkara pertama yang perlu dilakukan oleh kerajaan dan diikuti dengan menetapkan prosedur operasi standard di dalam pasukan polis dalam memberi bantuan kepada mereka yang melakukan cubaan tersebut.

“Kerajaan mesti tampil dengan lebih banyak dasar ... semua pihak mesti sedar bahawa kesihatan mental adalah tanggungjawab kolektif,” kata Ng.

Anak perempuan berusia 16 tahun itu meninggal di Padawan pada malam Isnin selepas jatuh dari bangunan kedai tiga tingkat. Kematiannya berlaku selepas beberapa jam majoriti responden  dalam tinjauan akaun Instagramnya meminta beliau untuk “memilih kematian” sebagai tindak balas kepada soalan beliau sama ada memilih antara “D / L”, merujuk kepada kematian atau kehidupan.

Polis kemudian berkata remaja itu juga menyatakan perasaan negatif dalam akaun Facebook, mengatakan dia bosan dengan kehidupan. Remaja perempuan itu berasal daripada keluarga yang berpecah belah dan tinggal bersama ibunya manakala ayah tirinya sering tidak ada selepas berpindah ke Singapura dan berkahwin dengan wanita lain. – 18 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen