SKMM kerjasama dengan polis tangani buli siber


Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM)  bagi melihat sama ada undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani masalah buli siber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2019.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM)  bagi melihat sama ada undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani masalah buli siber.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, pihaknya kemudian akan mengambil langkah meminda undang-undang sedia ada sekiranya perlu bagi tujuan tersebut.

“Kita ada undang-undang dalam Kanun Keseksaan, soalnya adakah undang-undang itu mencukupi dan adakah ia berkesan. 

“Jadi ini adalah semua perkara yang kita akan ambil kira, tetapi biarlah perbincangan pihak MCMC dengan polis diteruskan dahulu, apabila ada satu rangka (undang-undang) saya akan memberitahu media,” katanya selepas mengagihkan bubur lambuk kepada warga Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kes seorang remaja berusia 16 tahun dipercayai membunuh diri selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di Padawan, Sarawak, semalam.

Remaja wanita itu didakwa membuat undian di akaun Instagram dengan memaparkan status: “Sangat penting, bantu saya pilih.” dengan menyediakan dua pilihan iaitu D (Death) atau L (Life), masing-masing bermaksud “Mati atau Hidup”.

Dalam pada itu, Gobind turut meluangkan masa melawat Pusat Panggilan Pelanggan TM dan memuji usaha syarikat itu dalam mengendalikan aduan pelanggan.

“Kita kena pastikan perkhidmatan yang diberikan pada setiap masa, mutunya tinggi dan apabila ada aduan, kita kena terima aduan itu dan selesaikan secepat boleh, jadi bila ada pasukan sebegini, saya rasa masalah ini dapat diatasi,” katanya.

Pusat berkenaan menghimpunkan pegawai khidmat pelanggan TM termasuk ejen-ejen khidmat pelanggan digitalnya. – Bernama, 16 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen