Korea Selatan temui rangka dipercayai anggota tentera di DMZ


Kementerian Pertahanan Korea Selatan hari ini telah menemui satu rangka dipercayai milik anggota tentera yang terbunuh dalam Perang Korea 1950-1953 di Zon Bebas Tentera (DMZ) di sempadan Korea Utara. – Bernama, 16 Mei, 2019.

KEMENTERIAN Pertahanan Korea Selatan hari ini telah menemui satu rangka dipercayai milik anggota tentera yang terbunuh dalam Perang Korea 1950-1953 di Zon Bebas Tentera (DMZ) di sempadan Korea Utara, lapor agensi berita Yonhap.

Set tulang manusia itu ditemui pada Rabu lepas bersama-sama lambang pangkat staf sarjan, topi tentera, tabung air dan sudu semasa penggalian dan kerja melupuskan periuk api di Arrowhead Ridge, bekas tapak pertempuran di dalam DMZ yang memisahkan kedua-dua Korea, menurut tentera.

“Ini merupakan kali pertama rangka lengkap ditemui sejak projek penggalian itu bermula April.

“Kami akan menjalankan pemeriksaan terperinci dan analisis DNA untuk identifikasi tepat,” menurut kementerian itu.

Sepanjang minggu lepas, pihak tentera menemui 57 tulang yang menjadikan jumlah yang ditemui setakat ini kepada 220.

Di bawah perjanjian ketenteraan antara Korea yang bertujuan mengurangkan ketegangan dan membina kepercayaan, Seoul dan Pyongyang telah merancang untuk melaksanakan projek penggalian bersama selama kira-kira enam bulan mulai April.

Bagaimanapun, Korea Utara kekal tidak responsif terhadap gesaan untuk menjalankan projek itu seperti yang dipersetujui, menyebabkan tentera Korea Selatan terpaksa melaksanakan operasi itu sendirian. – Bernama, 16 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen