Perlu ada prosedur untuk benarkan menteri berkempen waktu kerja, kata Anwar


Ragananthini Vethasalam

Presiden PKR Anwar Ibrahimberkata, menteri akan menghabiskan masa sepanjang hari untuk berkempen sekiranya kekurangan garis panduan yang betul. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Mei, 2019.

PERLU ada prosedur yang jelas dan adil untuk membenarkan menteri berkempen dalam pilihan raya semasa waktu pejabat, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR berkata, menteri akan menghabiskan masa sepanjang hari untuk berkempen sekiranya kekurangan garis panduan yang betul.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menimbang semula sekatan terhadap menteri untuk berkempen semasa waktu bekerja.

Anwar berkata, perbincangan lanjut dengan SPR diperlukan mengenai perkara itu.

“Saya fikir perlu ada proses atau prosedur yang boleh dibuat untuk lebih adil.

“Saya fikir jika mereka mahu melakukannya (berkempen sepanjang hari semasa bertugas), mereka perlu mengambil cuti tetapi jika melakukannya sebagai sebahagian daripada program, maka ia mungkin boleh diterima,” katanya kepada pemberita dalam satu program di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Dr Mahathir berkata, adalah tidak adil untuk menyekat menteri berkempen dalam waktu bekerja.

Beliau berkata, menteri bekerja di luar waktu pejabat dan kadang-kadang sehingga malam, ini memberi peluang kepada parti lawan yang tidak mempunyai kerja untuk berkempen 24 jam.– 15 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen