Anwar gesa ahli Parlimen pembangkang terbuka isytihar harta


Ragananthini Vethasalam

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, ahli Parlimen pembangkang harus terbuka mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana sebelum ini mereka kritikal terhadap isu berkenaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 Mei, 2019.

AHLI Parlimen pembangkang harus terbuka mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana sebelum ini mereka kritikal terhadap isu berkenaan, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata, mereka harus menerima cadangan itu kerana kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya dengan menguatkuasakan ketelusan.

“Sejak pembangkang sentiasa kritikal terhadap perkara itu, kini mereka harus menyokong cadangan berkenaan,” katanya kepada media dalam satu majlis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata, semua ahli Parlimen perlu membuat pengisytiharaan harta mereka kepada badan anti-rasuah sebagai sebahagian usaha memerangi rasuah.

Dr Mahathir berkata, pelaksanaannya akan diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat Mohamed Ariff Md Yusof.

“Kita perlu melalui Speaker sebelum ini dimulakan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan telah memasukkan lima cadangan dari Pelan Antirasuah Nasional dalam petunjuk prestasi utama menteri.

“Semua menteri perlu memastikan semua ahli pentadbiran mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata, perkara itu akan dibincangkan di Parlimen untuk membenarkan gabungan pemerintah dan pembangkang mengemukakan cadangan mengenai pelaksanaan berkenaan.

Pada masa ini, hanya menteri dan timbalan menteri dikehendaki mengisytiharkan harta mereka tetapi wakil rakyat termasuk Anwar telah membuat pengisytiharaan harta.

“Saya telah mengisytiharkan harta saya tetapi belum digunakan lagi kerana ahli Parlimen tidak dikehendaki berbuat demikian,” katanya. – 15 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen