Pemandu bas Korea Selatan batal mogok


Pekerja dan pihak pengurusan dari 200 syarikat bas di seluruh negara mengadakan rundingan selama 18 jam yang berakhir pada Rabu pagi, berhubung isu pengurangan gaji berikutan pelaksanaan tempoh bekerja wajib selama 52 jam mulai Julai. – Gambar AFP, 15 Mei, 2019.

KESATUAN pemandu bas di Seoul, Busan dan semua bandar serta wilayah metropolitan lain bersetuju membatalkan mogok yang dirancang pada Rabu, selepas mencapai kata sepakat dengan pihak pengurusan, lapor agensi berita Xinhua.

Pekerja dan pihak pengurusan dari 200 syarikat bas di seluruh negara mengadakan rundingan selama 18 jam yang berakhir pada Rabu pagi, berhubung isu pengurangan gaji berikutan pelaksanaan tempoh bekerja wajib selama 52 jam mulai Julai.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menaikkan gaji pemandu sebanyak 3.6%, melanjutkan umur persaraan serta faedah sokongan kebajikan dilanjutkan sehingga lima tahun.

Kesatuan sekerja yang mewakili lebih 41,000 pemandu bas pada awalnya bersepakat untuk melancarkan mogok pada Rabu, kerana pengurangan jumlah jam bekerja dari 68 kepada 52 akan mengurangkan upah lebih sejuta won setiap bulan.

Presiden Moon Jae-in turut campur tangan dan menawarkan pakej insentif kewangan tidak langsung.

Pemandu bas meminta sokongan kewangan secara langsung daripada hasil pembayar cukai untuk menampung kekurangan pendapatan mereka, sebaliknya kerajaan memilih sokongan secara tidak langsung dan menaikan tambang bas.

Parti pemerintah, Parti Demokratik berikrar untuk memperluaskan sistem pengurusan bas semi-awam, di mana syarikat bas bertanggungjawab atas operasi manakala masalah kerugian akan ditangani pentadbir daerah.  

Dalam menghadapi permasalahan pengangkutan awam di seluruh negara, kerajaan dan parti pemerintah menggerakkan semua kaedah yang ada, termasuk menambah kekerapan perkhidmatan kereta api bawah tanah dan teksi, menyewa bas serta menyelaraskan waktu persekolahan dan perniagaan korporat untuk membantu mengurangkan kesulitan. – Bernama, 15 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen