Ketua PBB lawat mangsa tembakan masjid NZ


Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berikrar badan dunia itu akan menerajui usaha menghapuskan masalah penyebaran ucapan kebencian dalam talian. – Gambar EPA, 14 Mei, 2019.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran yang ucapan kebencian tersebar dalam talian “seperti api marak” semasa pertemuan dengan mangsa tembakan masjid Christchurch pada Selasa, berikrar badan dunia itu akan menerajui usaha menghapuskan masalah itu.

Guterres melawat masjid Al Noor, satu daripada dua pusat Islam di bandar New Zealand yang menjadi sasaran pelampau kulit putih dengan menembak mati 51 jemaah pada 15 Mac dan menyiarkannya secara langsung di Facebook.

Ketua PBB itu sedang melakukan perjalanan ke Pasifik Selatan untuk mengetengahkan kesan perubahan iklim tetapi mengatakan ia juga ingin menunjukkan sokongannya kepada komuniti Islam Christchurch pada Ramadan.

“Saya tahu tiada kata-kata untuk melegakan segala kesakitan dan kesengsaraan ini, tetapi saya mahu datang ke sini secara peribadi untuk menyampaikan kasih sayang, sokongan dan kekaguman,” katanya.

Beliau memberitahu mangsa tembakan paling teruk dalam sejarah New Zealand moden itu bahawa terdapat “peningkatan kebencian yang berbahaya” ketika media sosial dieksploitasi untuk mempromosikan perkauman.

“Ucapan kebencian tersebar seperti api yang marak di media sosial, kita harus memadamkannya,” katanya.

“Tiada ruang untuk ucapan kebencian sama ada dalam talian atau di luar talian.”

Beliau menyentuh rancangan yang diumumkan sebelum ini penasihat khasnya Adama Dieng mengenai pencegahan pembunuhan kaum untuk memerangi pelampau dalam talian.

Beliau berkata misi Dieng adalah untuk “kerjasama pasukan PBB untuk meningkatkan respons kami terhadap ucapan kebencian dan membentangkan rancangan tindakan global”. – AFP, 14 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen