Wakil rakyat Argentina mati ditembak


Insiden tembakan terhadap wakil rakyat Argentina Hector Olivares dirakamkan oleh kamera litar tertutup. Tembakan dilepaskan dari dalam sebuah kereta yang sedang berhenti. – Gambar EPA, 13 Mei, 2019.

SEORANG wakil rakyat Argentina meninggal dunia semalam selepas cedera ditembak dalam satu serangan pada waktu siang di luar bangunan Kongres di Buenos Aires.

Kematian Hector Olivares, 61, diumumkan oleh gabungan parti pemerintah, Cambiemos.

Enam ditahan termasuk dua lelaki yang ditangkap pada Jumaat susulan insiden tembakan pada Khamis. Dalam insiden itu, seorang penjawat awam Marcelo Yadon maut di tempat kejadian.

Beliau ketika itu sedang berjalan bersama Olivares.

Pihak berkuasa berkata mereka tidak fikir insiden itu bermotifkan politik.

Yadon, 58, ditembak lima kali dalam jarak dekat ketika berjalan di dataran di depan Kongres Nasional bersama Olivares, yang juga rakannya sejak kecil

Olivares cedera di bahagian perut dan keadaannya tidak stabil.

Sehingga kini motif tembakan masih belum diketahui.

Laporan media tempatan mengatakan ia mungkin ada kaitan dengan hubungan Yadon dengan anak perempuan seorang penyerang yang masih muda.

Insiden itu dirakamkan di kamera litar tertutup. Tembakan diacukan kepada Olivares dan Yadon dari dalam sebuah kereta yang sedang berhenti. – AFP, 13 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen