Keluarga Malaysia bakal nikmati kelajuan internet pantas, 5G murah


Keluarga Malaysia bakal menikmati kelajuan internet lebih pantas dan capaian internet 5G yang lebih murah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2022.

KELUARGA Malaysia bakal menikmati kelajuan internet lebih pantas dan capaian internet 5G yang lebih murah apabila Digital Nasional Berhad (DNB) memperluas rangkaian itu di seluruh negara tahun depan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata DNB akan memperluas rangkaian merangkumi 70% kawasan berpendudukan tinggi dan merancang melaksanakan perbelanjaan infrastruktur bernilai RM1.3 bilion pada tahun depan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan akan menyediakan 100% liputan internet di kawasan berpenduduk dan menyediakan liputan gentian optik kepada sembilan juta premis di seluruh negara menjelang 2025 di bawah projek Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 2.

“Inisiatif ini melibatkan jumlah pelaburan RM8 bilion termasuk sumbangan pihak industri,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata RM700 juta disediakan untuk melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 sekolah pada tahun depan menerusi inisiatif Jendela .

Tenaga Nasional Berhad juga katanya akan merintis pelaksanaan Projek Internet Luar Bandar dengan mengoptimumkan jaringan kabel elektrik bagi menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi.

“Projek ini akan memanfaatkan lebih 60,000 penduduk luar bandar dan disokong melalui geran sepadan sebanyak RM25 juta,” katanya. – Bernama, 7 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen