Perikatan tolak cadangan PRU tahun ini


Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata pilihan raya semasa musim banjir akan menjejaskan perjalanan pilihan raya di samping menyusahkan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2022.

ANGGOTA Kabinet Perikatan Nasional (PN) diarahkan pengerusinya Muhyiddin Yassin agar tidak bersetuju untuk pilihan raya umum diadakan tahun ini dalam mesyuarat jemaah menteri.

Arahan itu juga disampaikan kepada ahli Parlimen PN, kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.

“PN berpendirian bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 tidak wajar diadakan pada tahun ini memandangkan monsun timur laut akan bermula tidak lama lagi dengan banjir dijangka melanda negara terutamanya di negeri-negeri pantai timur.

“Mengadakan pilihan raya semasa musim banjir tentunya akan menjejaskan perjalanan pilihan raya di samping menyusahkan rakyat.

“Anggota jemaah menteri dari PN diminta untuk mempertegaskan pendirian ini di dalam mesyuarat jemaah menteri. Semua ahli Parlimen PN juga diminta mengambil pendirian yang sama,” kata Muhyiddin.

Bekas perdana menteri itu berkata kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh selain mempercepatkan pemulihan negara selepas pandemik, dan bukannya memikirkan pilihan raya umum.

Awal hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau diperkenankan menghadap Yang di-Pertuan Agong Khamis ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri enggan mengesahkan sama ada beliau akan membentangkan tarikh pembubaran Parlimen.

“Ada orang kata (pembubaran Parlimen akan dilakukan) sebelum (pembentangan Bajet 2023), ada yang kata selepas pengumuman bajet pada Isnin.

“Yang lain kata bulan ini atau November malah tahun depan,” katanya.

Majlis tertinggi Umno mengisytiharkan pada Jumaat lepas (30 September) yang pilihan raya umum perlu diadakan tahun ini dan Ismail Sabri akan mencadangkan tarikh untuk membubarkan Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong tidak lama lagi. – 4 Oktober, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen