Mesej tular berkenaan culik kanak-kanak di Tangkak palsu, kata polis


POLIS hari ini mengesahkan mesej yang tular mengenai kejadian penculikan kanak-kanak menerusi media sosial membabitkan daerah Tangkak, Johor adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohd Fadhil Minhat berkata mesej yang tular itu meminta masyarakat berwaspada berikutan dakwaan kononnya terdapat lima orang penculik dilihat menaiki kenderaan Perodua Kancil dengan menjual buku kepada pelajar sekolah di kawasan Solok dan Tangkak.

Beliau berkata bagaimanapun setelah semakan dilakukan pihaknya mendapati tiada sebarang laporan diterima berkaitan penculikan kanak-kanak.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan mesej tular yang menggugat keamanan masyarakat dan menyebarkan berita yang tidak berasas serta tidak ditentukan kesahihannya.

“Mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu di MELAKA Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit dalam kenyataan mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan penculikan kanak-kanak yang didakwa berlaku di kawasan Bukit Rambai seperti tular menerusi aplikasi WhatsApp dan beberapa media sosial semalam.

Beliau berkata rakaman suara dakwaan kes penculikan berkenaan adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan sebarang berita tidak berasas.

Menurutnya orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan berita yang belum ditentukan kesahihannya dan individu yang menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah mengesan dua rakaman suara penularan berita palsu menerusi WhatsApp tentang kanak-kanak diculik menggunakan sebuah kereta di Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai dan menggunakan sebuah van di kawasan Bukit Rambai.

“Polis mengesahkan tiada sebarang laporan diterima berkaitan kes penculikan seperti yang didakwa pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 505B Kanun Keseksaan kerana dengan niat menyebarkan ketakutan dan kegentaran kepada awam. – Bernama, 28 September 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen