Rayuan MAIPs mencelah prosiding cerai Loh didengar 7 Februari 2023


MAHKAMAH Rayuan menetapkan 7 Februari tahun depan bagi mendengar rayuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tidak membenarkan ia mencelah prosiding perceraian Loh Siew Hong dan bekas suaminya Muhammad Nagahswaran Muniandy yang memeluk agama Islam.

MAIPs memohon mencelah prosiding itu bagi mengubah perintah penjagaan anak pasangan tersebut yang telah diberikan kepada Loh untuk membolehkan ia menyediakan pendidikan dan latihan yang Islamik serta zakat kepada ketiga-tiga kanak-kanak yang turut memeluk agama Islam bersama bapa mereka.

Dr Shamsher Singh Thind, seorang daripada peguam Loh, ketika dihubungi mengesahkan tarikh itu selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norshakinah Ahmad Kamarudin hari ini.

Beliau berkata tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes sebelum ini dan pihak yang terbabit dalam rayuan tersebut bersetuju mengekalkannya.

“Pada pengurusan kes hari ini, pihak terbabit dimaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan boleh mendengar rayuan itu pada bulan November dan Disember. Bagaimanapun, beberapa tarikh yang dicadangkan tidak sesuai untuk semua pihak, jadi tarikh asal dikekalkan,” katanya.

Pada 15 Jun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Evrol Mariette Peters menolak permohonan MAIPs untuk mencelah prosiding perceraian itu selepas memutuskan majlis berkenaan gagal membuktikan ia adalah pihak berkepentingan dalam kehidupan kanak-kanak terbabit.

MAIPs memfailkan permohonan untuk mencelah pada 7 Mac lepas bagi membolehkan ia mempunyai locus standi (hak yang sah di sisi undang-undang) bagi memohon variasi ke atas terma-terma perintah jagaan tunggal yang diberikan kepada Loh.

Loh, 34, diberikan hak penjagaan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.

Pada 21 Feb lepas, ketiga-tiga beradik yang diletakkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah diserahkan kepada Loh selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpus beliau. – Bernama, 27 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen