Selamatkan Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing 

Selamatkan Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing 

KOMUNITI Orang Asli dikatakan terdedah dengan hakisan tanah akibat aktiviti pertanian di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Kelantan, jabatan dan agensi yang terlibat digesa mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan lebih 3,000 Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang yang kini terancam akibat aktiviti pertanian yang menjejaskan alam sekitar di kawasan itu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, sejak 2017 hingga Jun lalu, sebanyak tujuh kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur dilaporkan berlaku di kawasan itu.

Katanya, masalah tersebut sekali gus menimbulkan kebimbangan masyarakat Orang Asli yang tinggal berhampiran berikutan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur berhubung soal keselamatan mereka.

“Antara kampung yang terdedah kepada ancaman tersebut ialah Kampung Jedip, Brooke Lama, King Kong, Sang Wai A dan B, Sendrop, Bahong, Mendrop, Hendrop dan Kampung Jekjok. 

“Kampung-kampung ini sudah wujud lebih 30 tahun yang lalu dan sekarang kawasan ini menjadi tumpuan para pengusaha pertanian menjalankan aktiviti mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohideen, CAP memandang serius dan bersimpati dengan masyarakat Orang Asli di situ dan menggesa pihak kerajaan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera bagi menanganinya.

Jelas beliau, pihaknya percaya jika masalah itu dibiarkan kesan ke atas alam sekitar dan kehidupan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan akan terjejas dengan lebih serius pada masa akan datang.

“Kita juga bimbang penggunaan racun dan baja kimia oleh pengusaha pertanian di situ boleh mencemarkan sumber bekalan air kegunaan penduduk di kawasan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, kerajaan negeri Kelantan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) juga perlu menjalankan kajian mengenai kemerosotan sumber pendapatan dan kerosakan harta benda serta mencadangkan supaya pampasan yang setimpal diberikan kepada mereka yang terlibat.

“CAP turut menggesa kerajaan Kelantan mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil mengenai masalah ini kepada umum.

“Semua jabatan dan agensi yang terlibat termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan alam sekitar tidak terjejas serta keselamatan masyarakat Orang Asli di situ sentiasa terjamin,” katanya.

Tambahnya, CAP juga mencadangkan supaya pihak kerajaan mengambil tindakan menghentikan aktiviti pertanian di Tanah Tinggi Lojing dengan menanam semula spesies pokok hutan yang bersesuaian bagi memulihkan kerosakan alam sekitar yang berlaku dan mengembalikan kawasan itu sebagai hutan simpan.

CAP menggesa Kerajaan Negeri Kelantan, jabatan dan agensi yang terlibat mengambil tindakan segera menyelamatkan lebih 3,000 Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang yang kini terancam akibat aktiviti pertanian yang menjejaskan alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya