Kerajaan negeri tambah kemudahan awam di Pos Betau, yakin

Kerajaan negeri tambah kemudahan awam di Pos Betau, yakin Orang Asli teguh bersama BN

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) bersama sebahagian Tok Batin yang menerima replika cek inisiatif bantuan bakul makanan sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia peringakat negeri di Pos Pantos, Ulu Jelai, Lipis Pahang semalam. - HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kerajaan negeri akan menambah kemudahan awam bagi melengkapkan status sebagai kawasan tumpuan kira-kira 15,000 Orang Asli di pusat pertumbuhan baharu Pos Betau, Ulu Jelai di sini tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemudahan secara berperingkat itu mula direalisasikan apabila Kementerian Pendidikan sudah menyiapkan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) untuk pelajar Orang Asli mengikuti pembelajaran sehingga kelas Tingkatan Lima tahun ini.

“Kerajaan sudah dalam perancangan untuk membina ‘one stop centre’ yang terbesar di Betau bagi kemudahan penduduk Orang Asli berbelanja pelbagai keperluan keluarga tanpa memerlukan pergi ke pekan Sungai Koyan, bandar Kuala Lipis dan Raub yang jaraknya hampir 100 kilometer.

“Kemudahan yang sedia ada seperti klinik kesihatan, sekolah rendah, pejabat kecil agensi kerajaan, dewan serta hentian rawat dan rehat sudah lama disediakan (dibangunkan), tetapi projek seperti SMK, pusat perniagaan dan sebagainya antara yang terbaharu serta amat perlu untu menaiktaraf Pos Betau sebagai pusat pertumbuhan baharu selari dengan taraf peningkatan hidup Orang Asli di kawasan ini,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Orang Asli Sedunia peringkat negeri di Pos Pantos, Ulu Jelai dekat sini.

Sempena majlis itu, beliau turut menyampaikan replika cek berjumlah RM1.4 juta, iaitu bantuan bakul makanan kepada Tok Batin yang mewakili setiap daerah serta insiatif kebajikan untuk penduduk warga emas, penyakit kronik, mangsa banjir, membaikpulih rumah dan peralatan perniagaan bernilai RM216,500.

Menurut Wan Rosdy, pembangunan yang rancak di penempatan Orang Asli di negeri ini merupakan hasrat kerajaan untuk menaiktaraf kehidupan kaum minoriti itu berasaskan peluang bidang pendidikan, sosial dan ekonomi.

“Projek kemudahan asas dan bantuan kebajikan Orang Asli akan diteruskan ke seluruh negeri tahun ini menerusi perancangan dan penyelenggaraan di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan agensi lain serta syarikat perbadanan berkaitan Orang Asli akan terus merancang serta membantu menaikkan taraf hidup masyarakat ini menerusi peluang keusahawanan, perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy meminta seramai 305 Tok Batin Orang Asli serta kira-kira lebih 50,000 orang ‘anak buah’ pelbagai etnik kaum itu di negeri ini terus berdiri teguh di belakang Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

“Buat keputusan yang bijak, tepat dan di ‘luar kotak’ dengan memberikan peluang Kerajaan BN negeri terus menyusun agenda pembangunan selepas PRU15 nanti seperti mana sebelum ini apabila kita langsung tidak pernah mengabaikan penduduk Orang Asli,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama,  beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai juga mengingatkan Orang Asli negeri ini supaya berwaspada dan jangan sesekali termakan dakyah orang luar yang masuk ke kampung meracuni fikiran supaya menyokong mereka.

“Ingin saya tegas dan beringat apabila BN negeri kalah kepada pihak lain amat sukar untuk kembali bangkit semula malahan penduduk khususnya Orang Asli akan berdepan kesusahan dan pembangunan terus malap seperti yang pernah dialami tempoh yang singkat selepas PRU14 lalu apabila pembangkang memerintah.

“Saya ingatkan supaya jangan terpengaruh dengan mereka (orang luar) yang datang ke kampung untuk menabur janji cuma seketika dan selepas pulang apa yang dijanji tidak dikotakan atau langsung tidak ada,” katanya.

Ujar Wan Rosdy, beliau dan kepimpinan peringkat negeri menaruh keyakinan tinggi bahawa seramai kira-kira 50,000 Orang Asli yang berusia 21 tahun ke atas serta 15,000 orang pengundi di kawasan Cameron Highlands akan berdiri teguh menyebelahi kerajaan BN negeri pada PRU15 ini. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya