Lelaki berkeras dakwa dia anak Raja Charles dan Camilla - Utusan Malaysia

Lelaki berkeras dakwa dia anak Raja Charles dan Camilla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRISBANE: Seorang lelaki rakyat Australia tetapi dilahirkan di England tetap berkeras mendakwa dia adalah anak kepada Raja Charles III dan Ratu Consort, Camilla.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Simon Dorante-Day, 56 tahun sudah bertahun-tahun ‘memperjuangkan nasibnya’ dengan menggesa Raja Charles melakukan ujian DNA bagi mengesahkan Raja Britain itu adalah bapanya.

Simon juga pernah menulis surat kepada mendiang ratu Elizabeth II mengenai perkara berkenaan, namun tidak dilayan sehingga kini.

Malah, perasaan kecewa lelaki itu semakin bertambah apabila menyaksikan Putera William memegang gelaran Putera Wales yang dirasakan tempat itu sepatutnya menjadi miliknya.

“Saya cuma tertanya-tanya, jika Raja Charles boleh memperakui William sebagai Putera Wales, kenapa baginda tidak boleh memperakui saya sebagai anaknya dengan Camilla?

“Lakukan ujian DNA, jika ternyata baginda adalah bapa saya, maka akuilah saya sebagai anak dan sebaliknya,” katanya seperti yang dilaporkan Daily Mail.

Simon mula meraih perhatian pelbagai media dunia selepas mendakwa dia adalah anak yang dilahirkan secara rahsia oleh Camilla hasil hubungannya dengan Charles.

Menurut Simon, dia mengetahui perkara itu berdasarkan cerita yang disampaikan oleh nenek angkatnya sebelum meninggal dunia.

Lelaki itu dilahirkan di Portsmouth pada 5 April 1966 dan diserahkan kepada keluarga angkat ketika berusia lapan bulan sebelum keluarganya berhijrah ke Australia.

Jelasnya, nenek angkatnya pernah bekerja dengan Ratu Elizabeth II dan Putera Philip dan Simon dilahirkan setahun selepas Charles serta Camilla menjalin hubungan pada 1965.

“Camilla sempat menjaga saya sehingga berusia lapan bulan sebelum saya diserahkan kepada keluarga angkat dan berpindah ke Australia,” ujarnya.

Namun, dakwaan Simon dilihat bertentangan dengan kronologi pertemuan Charles dan Camilla.

Kedua-duanya dilaporkan bertemu dan menjalin hubungan secara serius lima tahun selepas kelahiran Simon.

Sementara itu, Simon menegaskan dia akan terus memperjuangkan nasibnya untuk mengesahkan asal usulnya.

Lelaki itu juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya inginkan kekayaan dan sanggup buat apa sahaja untuk menjadi ‘anak Raja Charles dan Camilla’.

“Ya tidak dinafikan saya ingin bergelar Putera Wales, itu pun jika benar saya adalah anak kepada Charles dan Camilla.

“Disebabkan itu, saya mohon agar mereka lakukan ujian DNA segera,” tegasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya