Jentera Pemuda BN sedia redah banjir hadapi PRU15, kata Zahid


Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera Pemuda gabungan itu sedia meredah banjir jika PRU15 diadakan hujung tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 September, 2022.

JENTERA Pemuda Barisan Nasional (BN) bersedia meredah banjir yang diramal berlaku hujung tahun ini sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh itu.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata sekiranya ditakdirkan PRU15 diadakan hujung tahun ini meskipun beberapa negeri sering dilanda banjir dalam tempoh itu, jentera Pemuda gabungan politik itu tetap bersedia mengharunginya.

“Kita tahu ada kekangan, akhir tahun ini ada banjir, ada hujan lebat, ada monsun timur laut tetapi kalau Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) bubar masa banjir pun, kita sanggup redah banjir,” katanya ketika berucap melancarkan Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Selain Ismail Sabri, turut hadir Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, Presiden MCA Wee Ka Siong dan Presiden MIC S A Vigneswaran.

Presiden Umno itu juga berkata, beliau yakin BN mampu menawan Putrajaya pada PRU15 berdasarkan semangat yang ada pada Pemuda gabungan politik itu dibantu jentera Wanita dan Puteri.

“Kita kena buat pendekatan hibrid jangan sasar Pemuda sahaja, ini mesti dilakukan koordinasi secara hibrid, mesti berganding bahu untuk menentukan semua jentera digerakkan untuk memperkenal calon BN,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata, kesiapsiagaan jentera BN dari segi perkakasan tempur untuk berdepan perang maya mesti diperkukuh selain menjawab sebarang isu dengan segera. – Bernama, 17 September, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen