PH pernah cadang tutup Yakeb - PM

PH pernah cadang tutup Yakeb – PM

ISMAIL Sabri Yaakob (dua kanan) menyerahkan replika cek bantuan alat sokongan perubatan kepada bekas atlet renang para, Wan Harun Wan Ahmad (dua kiri) pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-7 Yakeb  di Kuala Lumpur, hari ini. Turut sama, Ahmad Faizal Azumu (dua kanan).  - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara selama 22 bulan pernah berhasrat menutup Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Perdana Menteri berkata, sepanjang mentadbir, sumbangan kewangan kepada yayasan berkenaan untuk menjaga kebajikan dan meneruskan kelangsungan membantu bekas atket negara tidak disalurkan seperti biasa.

“Sewaktu kerajaan lain memerintah negara ini selama 22 bulan, bukan sahaja sumbangan tidak diberikan, malah ada cadangan untuk menutup Yakeb sewaktu mereka memerintah sekali gus menyebabkan Yakeb berdepan masalah ketika itu.

“Namun, apabila kita memerintah semula, sumbangan kewangan kembali diberikan. Baru-baru ini saya sudah salurkan RM3 juta, itu untuk tahun lepas dan tahun ini. Insya-Allah, kita akan bincang untuk tahun hadapan pula.

“Saya juga berharap, menerusi peruntukan ini Yakeb dapat anjurkan lebih banyak lagi program yang boleh beri manfaat kepada bekas-bekas atlet seperti kursus keusahawanan untuk mereka menambah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Yakeb ke-7 yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berharap Yakeb dapat bergerak secara proaktif untuk mencari bekas atlet negara yang berdepan masalah agar mereka tidak dimanipulasikan oleh pihak tertentu untuk sebarang kepentingan.

“Saya harap Yakeb dapat ringankan beban bekas atlet dan cari mereka yang hadapi masalah. Menteri Belia dan Sukan ada maklumkan kepada saya, ada pihak yang cuba manipulasi bekas atlet untuk kepentingan mereka. 

“Saya juga minta menteri lihat kes bekas atlet paralimpik negara (Koh Lee Peng) yang dikatakan terpaksa jual tisu dan saya dimaklumkan bahawa Yakeb sudah bantu termasuk menawarkan pekerjaan namun, ditolak.

“Selepas ditolak, keluar pelbagai cerita yang beri imej tidak baik kepada Yakeb. Sebab itu saya mahu kita cari lebih awal, jika jatuh kepada pihak tidak bertanggungjawab, ia beri imej tidak baik kepada Yakeb dan kementerian sendiri,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri meminta Kementerian Belia dan Sukan melihat tanah yang sesuai untuk pembinaan Wisma Yakeb bagi membolehkan yayasan itu mempunyai pusat kecemerlangan atlet.

“Saya percaya, jika Yakeb ada wisma dan pusat sukan sendiri pelbagai program boleh dianjurkan di bawah satu fasiliti sahaja. Malah, ia juga boleh jadi sumber pendapatan baharu kepada yayasan untuk membantu bekas atlet.

“Selaku bekas Menteri KBS, saya tahu KBS ada tanah-tanah yang belum digunakan sepenuhnya. Jadi eloklah, menteri tengok tanah dan berikan kepada Yakeb untuk bina Wisma Yakeb selepas ini.

“Bagi Yakeb pula, boleh buat anggaran perbelanjaan dan mohon kepada kerajaan untuk pembinaan. Ini beza kerajaan sekarang dengan kerajaan dahulu,” katanya yang menerima sorakan gemuruh lebih 500 ahli Yakeb. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya