Jangan salahkan Sanusi kes banjir di Baling, ladang durian Gunung Inas, kata Harakah


MUHAMMAD Sanusi Md Nor tidak patut dipersalahkan dalam isu penerokaan Hutan Simpan Gunung Inas yang didakwa sebagai punca malapetaka banjir di Baling, menurut lidah parti PAS, Harakah.

Rencana pengarang akhbar itu mempertahankan menteri besar Kedah itu dengan mendakwa, projek membalak bagi membuka ladang durian mega tersebut bermula sejak 2007.

Tulisan itu timbul selepas Sanusi diserang teruk kerana menyebut banjir besar pada Selasa yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa itu berpunca dari faktor alam.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan meluas dan kecaman dari NGO alam sekitar yang menuntut Sanusi bertanggungjawab atas kemusnahan besar yang berlaku di daerah itu.

Rencana Harakah mengaitkan kelulusan tahun 2007 untuk tebangan seluas 5,000 hektar kawasan Hutan Simpan Gunung Inas untuk tanaman spesis kayu lembut atau getah klon balak.

Seterusnya pada 2015, ia mendakwa seluas 2,000 hektar diluluskan untuk tebangan dan tambahan lebih 376 hektar lagi pada 2017.

Rencana itu mendakwa kawasan ladang hutan itu akan ditanam dengan durian dari jenis Musang King sepenuhnya dan akan menjadi ladang terbesar varieti tersebut di dunia.

“Maka, syarikat-syarikat terbabit secara usahasama anak syarikat milik kerajaan negeri telah memohon untuk melaksanakan projek mega tersebut.”

Ia mendakwa, syarikat itu juga mahu lebih 1,526 hektar hutan simpan di Teloi dan Bukit Enggang dan Gunung Bongsu dibalak untuk projek ladang durian itu, dakwa Harakah.

Menurut rencana itu, terdapat kawasan ditanam dengan durian sebaik balak ditebang walaupun tanaman itu tidak diluluskan untuk pembangunan ladang hutan.

Rencana itu seterusnya mendakwa kerajaan negeri hanya membenarkan 20% tanaman durian untuk ladang hutan pada 2019 ekoran desakan pihak tertentu.

Ketetapan kerajaan negeri kemudian diolah untuk menghalalkan tanaman durian yang dibuat lebih awal di kawasan pembalakan tersebut, dakwa Harakah.

Rencana itu seterusnya mengakui kegagalan memenuhi objektif pembangunan ladang hutan akan menyebabkan rakyat dihentam banjir, menjejaskan habitat haiwan dan bekalan air.

Selanjutnya, rencana itu menjunjung Sanusi sebagai pemimpin yang cekal dalam usaha menyelamatkan rakyat Kedah dengan arahan menghentikan aktiviti ladang durian itu pada 17 Mei 2020.

Sanusi semalam menolak pembalakan sebagai punca kepada kemungkinan berlakunya curahan air secara besar-besaran dari anak sungai di Gunung Inas.

Katanya, banjir itu akibat kepala air seperti tragedi di Gunung Jerai tahun lalu.

PAS berjaya membentuk kerajaan di Kedah selepas pilihan raya umum 2008 sewaktu berganding dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Negeri itu kembali ditadbir Barisan Nasional selepas pilihan raya umum 2013 dan bertukar tangan semula kepada PAS pada 2018. – 7 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen