Parti politik sudah mula kempen PRU15


Chan Kok Leong

Ramai jangka Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang ditekan akan buat PRU15 tahun ini, walau masih ada 12 bulan sebelum Parllimen dibubarkan secara automatik pada 16 Julai 2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2022.

PARTI-PARTI politik telah memulakan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas hampir dua tahun kurang aktif akibat pandemik Covid-19, sekatan pergerakan serta darurat.

Walaupun masih ada 12 bulan lagi sebelum Parlimen ke-14 dibubarkan secara automatik pada 16 Julai 2023, ramai menjangkakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang ditekan akan mengadakan pengundian tahun ini.

Menariknya, Ismail Sabri tidak didesak oleh pembangkang tetapi oleh presiden partinya sendiri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak.

Zahid sedang berhadapan perbicaraan rasuah dan salah guna kuasa manakala Najib dalam proses merayu sabitan rasuah di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun ketika Ismail Sabri sedang memikirkan tentang tarikh PRU15, parti politik lain telah pun memulakan kempen mereka.

“Kami sudah mula kempen PRU15,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil kepada The Malaysian Insight selepas Pakatan Harapan (PH) memulakan kempen Jelajah Harapan Selangor di Morib Sabtu lalu.

“Akan ada lebih banyak program Jelajah di kawasan lain,” tambahnya.

PH, yang terkenal dengan kempen ala ceramahnya, akan mengembangkan program Jelajah mereka di Selangor dan negeri pimpinan PH lain di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, kata Fahmi.

“Harapnya akan berkembang ke negeri lain,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Pada Sabtu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim bersama pemimpin Selangor lain seperti Menteri Besar Amiruddin Shaari, exco negeri V. Ganapathi Rao and Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengadakan ceramah pertama mereka di Morib.

“Kalau kita boleh pergi tengok bola sepak di stadium, konsert, dan kebanyakan sektor ekonomi lain telah dibuka semula, ceramah juga boleh dibuat,” kata Fahmi.

Walaupun PH mengadakan gelombang ceramah yang berjaya dalam kempen 2008, 2013 dan 2018, namun dalam dua pilihan raya negeri lepas di Melaka dan Johor pula menunjukkan pengundi suam-suam kuku.

Menurut Fahmi, ceramah sahaja tidak membangkitkan semangat pengundi.

“Ia sebenarnya tentang isu yang kami bangkitkan, penyelesaian yang kami cadangkan, selain fakta yang Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) telah mengecewakan rakyat Malaysia.

“Pengundi juga sedar PRU15, bergantung pada masanya, adalah mengenai kleptokrat yang ingin kembali berkuasa untuk buat sesuka hati – ini adalah sesuatu yang rakyat Malaysia mesti lawan,” kata Fahmi.

Sementara PH telah memulakan semula ceramah mereka, ahli majlis tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata pihaknya juga merancang jelajah ke seluruh negara.

Beliau berkata, parti yang mengepalai PN itu akan memberi tumpuan kepada akar umbi mereka.

“Ada aktiviti sosial dan politik di bawah payung PN. Dan di kawasan tertentu, kita akan bekerjasama dengan PAS dan parti komponen lain juga.

“Kami beri tumpuan kepada akar umbi dahulu dan hubungan kami antara parti dalam PN,” tambahnya.

Kos sara hidup

Ketika 1MDB dan GST menjadi isu utama pada PRU14, Fahmi berkata PH akan memberi tumpuan kepada isu inflasi yang melanda pengundi sejak awal 2022.

“Isu kos sara hidup akan jadi isu utama, dengan mereka yang boleh mengemukakan idea-idea bagus lagi praktikal yang boleh menambat hati pengundi.

“PRU15 ini, berbanding mana-mana PRU sebelum ini, juga berkemungkinan akan menjadi perebutan kerusi demi kerusi di mana setiap kerusi akan mempunyai dinamik tertentu yang perlu didekati dengan cara yang berbeza daripada yang lain,” kata Fahmi.

Pada 2018, PH berjaya menamatkan pemerintahan BN selama 61 tahun dengan berkempen menentang Najib dan GST.

Melalui ceramah, pembangkang berkempen di seluruh negara dengan pelbagai jelajah dari 2017 untuk merekodkan peratusan keluar mengundi yang tinggi untuk memenangi 113 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

BN, yang diketuai Najib, tinggal 79 kerusi selepas hilang 54 kerusi. BN kemudiannya dikurangkan kepada 61 selepas parti-parti Sarawak keluar daripada gabungan itu, dengan mengambil alih 18 ahli Parlimen.

Parti-parti Sarawak kini telah membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan menjadi blok utama di negeri itu.

Tetapi sementara PH akan mengetengahkan isu inflasi, Dr Muhammad Faiz berkata partinya masih memperhalusi isu yang akan dibangkitkan.

“Kami masih mengusahakannya. PN akan umumkan sebaik sahaja dimuktamadkan,” tambahnya.

PH dan PN bukanlah satu-satunya parti yang telah memulakan kempen PRU15.

Walaupun BN tidak merancang sebarang ceramah, Umno juga telah mula mempertingkatkan program dan aktivitinya di kerusi yang mereka intai untuk dimenangi semula.

Antaranya Kuala Selangor, yang menyaksikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menghadiri lebih banyak majlis di kawasan itu.

Walaupun Tengku Zafrul dibawa masuk ke dalam kerajaan oleh PN, ahli Umno yang sudah lama itu dijangka bertanding dalam pilihan raya pertamanya di Kuala Selangor.

Sementara itu, Warisan Sabah turut melancarkan pejabat negeri pertamanya di Seremban, Negeri Sembilan pada 19 Jun. – 28 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen