Pejabat kesihatan siasat dakwaan kanak-kanak alami ruam selepas mandi di kawasan rekreasi


Gambar keadaan kulit kanak-kanak lelaki dijangkiti bakteria sehingga mengalami ruam kulit selepas mandi di kawasan rekreasi dan perkelahan di Sungkai yang tular di Twitter. – Gambar Twitter, 24 Jun, 2022.

PEJABAT Kesihatan Daerah (PKD) Batang Padang menjalankan siasatan di sebuah kawasan rekreasi dan perkelahan di Sungkai berhubung dakwaan seorang kanak-kanak lelaki dijangkiti bakteria sehingga mengalami ruam kulit selepas mandi di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata kakitangan PKD itu telah digerakkan ke lokasi kawasan berkenaan pagi tadi bagi menyiasat punca sebenar.

“Respons awal PKD mendapati kawasan berkenaan mematuhi segala prosedur kesihatan untuk beroperasi sebelum ini.

“Laporan lengkap akan menyusul setelah PKD selesai melakukan siasatan,” katanya dalam jawapan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama hari ini.

Seorang pengguna Twitter Elle Fara dalam ciapannya sambil memaparkan gambar keadaan kulit kanak-kanak itu menulis: “What we’ re currently facing. Pray for speedy recovery for Eiman Qasyaf. Doctor said it’s caused by a virus from the hot spring i brought him last week. The virus created a port on his skin to invite bacteria to infest on his skin (Apa yang kami hadapi sekarang. Doakan Eiman Qasyaf cepat sembuh. Doktor kata ia disebabkan virus dari kolam air panas yang saya bawanya pergi minggu lepas. Virus itu membentuk ‘port’ pada kulitnya yang mengundang bakteria menyerang kulitnya). – Bernama, 24 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen