Johor proses 2 tan durian jadi tempoyak, kata exco


Exco pertanian Johor Zahari Sarip berkata sebanyak dua tan durian diproses setiap hari untuk dijadikan tempoyak bagi mengatasi lambakan raja buah di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2022.

SEBANYAK dua tan metrik durian segar diproses setiap hari bagi menghasilkan isi durian dan tempoyak untuk pasaran tempatan sekali gus mengatasi isu lambakan buah itu yang sedang berlaku di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Zahari Sarip berkata kerja pemprosesan raja buah itu dilakukan di Pusat Pemprosesan Durian di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Tangkak.

“Pusat pemprosesan ini bertaraf Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan ia telah berjaya meningkatkan nilai tambah serta menangani masalah lambakan durian yang berlaku di kawasan Johor utara iaitu daerah Tangkak, Muar, Segamat.

“Antara kemudahan yang disediakan termasuklah mesin pengasingan isi durian, mesin pek vakum, penyejuk beku bagas dan bilik sejuk yang boleh menyimpan 22 metrik tan isi durian beku dalam satu-satu masa.

“Jabatan Pertanian turut bekerjasama dengan pihak syarikat peneraju dalam aktiviti pemprosesan durian, bagi membangunkan produk hiliran berasaskan durian dan ini juga akan membantu pengusaha kecil dan sederhana memasarkan hasil pengeluaran durian mereka,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ng Kor Sim (PH-Jementah) yang ingin tahu perancangan untuk memperkembangkan industri pemprosesan buah-buahan terutamanya melibatkan durian berikutan tanaman tersebut semakin meluas di negeri ini.

Zahari berkata pada tahun lepas Johor telah mengeluarkan sebanyak 121,898 metrik tan durian, melibatkan 31,255 pengusaha dengan keluasan keseluruhan seluas 19,171 hektar dan Tangkak merupakan daerah paling banyak mengeluarkan buah tersebut.

Katanya kerajaan negeri menyasarkan peningkatan pengeluaran durian sebanyak 141,862 metrik tan pada 2027 atau peningkatan sebanyak 13.47 peratus.

“Secara keseluruhan, sejak 2018 hingga kini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6.34 juta bagi pembangunan tanaman khususnya durian di Johor.

“Pada tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.173 juta bagi pembangunan industri tanaman durian kepada 233 pengusaha, dengan sasaran keluasan seluas 504.9 hektar di seluruh Johor,” katanya sambil menambah fokus penanaman akan diteruskan kepada penggantian durian kampung kepada varieti premium seperti D197 (Musang King) dan D168 (IOI). – Bernama, 22 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen