Pengundi akan tolak UMNO pecah belah perpaduan ummah - Sanusi - Utusan Malaysia

Pengundi akan tolak UMNO pecah belah perpaduan ummah – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor merasmikan Bengkel Kerja Pemantapan Pengoperasian PIBKS dan PIBG Dalam Pendidikan Sekolah-sekolah Kedah 2022 di UUM, Sintok hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pas yakin keengganan UMNO untuk mempertahankan Muafakat Nasional (MN) akan mengakibatkan parti itu ditolak pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perpaduan ummah yang menjadi teras kepada penyatuan MN itu akan mendapat sokongan rakyat.

“Kalau orang faham betapa perlunya perpaduan ummah diperkukuhkan, orang akan sokong. Orang yang tak mahu itulah yang orang akan tolak. Saya harap semua pihak akan setuju untuk capai hasrat itu, siapa yang nak berpecah sangat itu akan ditolak dalam PRU. Hang (Anda) nak melemahkan tak bolehlah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Bengkel Kerja Pemantapan Pengoperasian Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Dalam Pendidikan Sekolah-sekolah Kedah 2022 di Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

Muhammad Sanusi mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin bahawa parti itu tidak pernah berputus asa untuk mempertahankan MN yang kini seolah-olah ‘retak menanti belah’.

Mengulas lanjut, kata Menteri Besar itu, dalam konteks Pas demi perpaduan ummah, MN bukan sahaja melibatkan UMNO malah parti-parti lain turut terlibat.

“Bukan dengan UMNO sahaja, ada banyak pihak lagi kita kena usahakan perpaduan ummah demi mengukuhkan kuasa politik orang Melayu, itu sahaja matlamat Pas. Gabungan itu bukan dengan UMNO sahaja, asalkan kita dapat capai kuasa politik orang Melayu untuk membina perpaduan ummah kerana di peringkat antarabangsa dan tempatan umat Islam mesti bersatu, mesti dominan,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, tiada terma takut kalah dalam Pas sehingga perlu merayu kepada UMNO sedemikian rupa memandangkan parti itu tekad menghadapi apa juga kemungkinan dalam PRU15.

“Kalah bagi Pas adalah normal (biasa) tak apa kalah pun, dulu pun menang tak banyak dulu biasa menang 27 kerusi sahaja tahun 1999. Sekarang 18. Kalah bukan bererti kita salah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya