Tiada pemimpin, kakitangan di Kelantan terlibat rasuah, kata Mohd Amar


Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata tiada pemimpin dan kakitangan di negeri itu didakwa atas kes rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2022.

TIADA individu dalam kalangan pemimpin dan kakitangan kerajaan negeri didakwa atas kesalahan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah sejak pemerintahan PAS di Kelantan setakat ini, kata Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat beberapa pegawai atau kakitangan telah disiasat berhubung perkara tersebut selepas menerima laporan daripada pihak-pihak tertentu.

“Sejak zaman pentadbiran Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi pernah disebut sekiranya ada penyelewengan, salah guna kuasa mahupun rasuah dalam kalangan pimpinan kerajaan, maka laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh dibuat.

“Jika laporan sudah dibuat, kami sedia untuk disiasat dan itu memang pendirian kami kerana dari segi demokrasi sesiapa sahaja boleh bercakap atau memberi komen tetapi sebarang dakwaan mestilah ada bukti dan itu adalah asasnya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan & Pidato Ekonomi Sunnah ‘Penggerak Pembangunan Ummah’, di Kota Bharu semalam, yang turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob. – Bernama, 20 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen