Kejohanan basikal lasak jana pendapatan RM650,000 kepada Langkawi

Kejohanan basikal lasak jana pendapatan RM650,000 kepada Langkawi

SERAMAI 250 peserta yang majoritinya dari luar Pulau Langkawi menyertai Kejohanan Langkawi Geopark Enduro Challenge 2022 di Kampung Dato’ Bakar, Kuah, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Industri pelancongan di daerah ini terus menerima limpahan ekonomi melalui penganjuran Kejohanan Langkawi Geopark Enduro Challenge 2022 yang turut disertai pelumba basikal antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, lebih 90 peratus peserta yang menyertai kejohanan itu datang dari luar Pulau Langkawi yang turut membawa bersama keluarga masing-masing.

“Lebih 250 orang peserta menyertai program ini dan hanya 10 orang peserta sahaja dari Langkawi, manakala selebihnya adalah dari luar termasuklah 18 orang peserta antarabangsa.

“Peserta ini membawa bersama keluarga, pasukan dan jurulatih masing-masing dan dianggarkan 1,500 orang masuk ke Langkawi kerana program ini sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kejohanan itu di Kampung Dato’ Bakar, Kuah, di sini hari ini.

Nasaruddin berkata, LADA menganggarkan sebanyak RM650,000 diraih daripada mereka yang masuk ke Pulau Langkawi bagi kejohanan itu termasuk untuk penginapan, pengangkutan dan lain-lain perbelanjaan.

Menurutnya, program itu turut memanfaatkan status Geopark Langkawi yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai daya penarik dalam mempromosikan Langkawi kepada para peserta.

Sementara itu, penganjur kejohanan yang juga Pengerusi Kelab Basikal 99 Kuah Langkawi, Raziman Ishak berkata, program ini adalah sebahagian daripada empat siri Mountainbiker Enduro Championship (MEC) 2022 yang berlangsung di seluruh negara.

“Langkawi menjadi tuan rumah bagi siri kedua, di mana siri pertama telah diadakan di Lumut, Perak pada Mac lalu sebelum siri seterusnya akan diadakan di Mersing, Johor pada September dan Jitra pada Disember,” katanya.

Aktiviti sukan berbasikal itu bermula di Trek MTB99, Kampung Dato’ Bakar, Kuah, di sini diadakan sempena Karnival Langkawi Geopark 2022 yang berlangsung sepanjang bulan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya