Polis lencong jalan di Balik Pulau, atasi sesak ketika musim durian


POLIS mengambil beberapa tindakan segera bagi mengurangkan kesesakan yang sedang  berlaku di Barat Daya terutama di Balik Pulau, berikutan peningkatan kenderaan yang masuk ke daerah itu kerana musim durian dan cuti sekolah ketika ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata berikutan itu pihak polis telah mengambil inisiatif untuk membuat beberapa lencongan jalan dan jalan sehala di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti di daerah tersebut.

“Berdasarkan pemantauan yang dijalankan mendapati berlaku kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan di daerah Barat Daya, ekoran cuti sekolah dan ia ditambah lagi dengan pesta durian yang diadakan bermula esok hingga 12 Jun ini yang dijangka menyumbang kepada peningkatan kenderaan.

“Sempena pesta durian bermula esok hingga 12 Jun, beberapa jalan yang telah dikenal pasti akan dilencongkan bermula pukul 9 pagi hingga 7 malam, dan ia juga terpakai (lencongan) bagi setiap Sabtu dan Ahad hingga hujung bulan Jun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya jalan yang dilencongkan ialah Jalan Tun Sardon dilencongkan ke Jalan Pondok Upeh, Jalan Sungai Pinang/ Sungai Rusa dilencongkan ke Jalan Baharu, Sungai Korok dan Jalan Sungai Nipah dilencongkan ke Jalan Balik Pulau.

Kamarul berkata bagi jalan sehala pula, jalan yang terlibat ialah Jalan Gertak Sanggul yang mana ia akan disehalakan untuk kenderaan masuk sahaja, manakala jalan keluar akan menggunakan Jalan Kampung Masjid dan Jalan Tingkat Teluk Kumbar.

Terdahulu sejak beberapa hari lepas terutama ketika cuti hujang minggu, tular video yang memaparkan berlaku kesesakan teruk di beberapa kawasan di bahagian pulau negeri itu terutama di Balik Pulau dan George Town. – Bernama, 9 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen