Empangan Nenggiri: 3,000 komuniti Orang Asli bakal terjejas

Kehidupan 3,000 komuniti Orang Asli bakal terjejas akibat pembinaan empangan Nenggiri

KIRA-KIRA 100 Orang Asli berkumpul di hadapan bangunan Pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum bantahan pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan. - FOTO/FAISOLMUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 3,000 Orang Asli di 17 wilayah bakal terjejas teruk jika pelaksanaan projek empangan hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan diteruskan.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along berkata, pembinaan empangan hidrolektrik itu dianggarkan akan menenggelamkan kawasan hutan seluas 5,384 hektar yang merupakan tanah adat dan wilayah Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

“Empat buah penempatan akan terjejas secara langsung dan tenggelam sepenuhnya melibatkan seramai 1,185 orang daripada 275 keluarga manakala 18 kampung lagi akan terjejas secara tidak langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Perdana Menteri, Muhammad Faizal Sufar di hadapan bangunan Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Dianggarkan lebih 100 Orang Asli berhimpun di sini hari ini bagi menyerahkan memorandum bantahan berkenaan kepada kerajaan.

Menurut Mustafa, kerajaan seharusnya mengutamakan keselamatan penduduk dan mengkaji kesannya ke atas alam sekitar sebelum membuat keputusan untuk meneruskan projek pembinaan empangan tersebut.

Jelasnya, kehidupan Orang Asli di kawasan terlibat telah pun terjejas akibat aktiviti pembalakan tidak terkawal yang mengakibatkan mereka hilang sumber makanan, sumber air bersih serta ancaman hidupan liar seperti gajah yang kehilangan habitat dan dijangka akan lebih teruk sekiranya projek ini diteruskan.

“Projek ini juga bakal menenggelamkan tapak bersejarah bagi komuniti Orang Asli Temiar seperti Gua Cha dan Gua Chawas yang menjadi bukti kewujudan awal suku berkenaan selain mempunyai artifak yang membentuk kronologi sejarah awal Kelantan,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Wilayah Tanah Adat Kampung Orang Asli Pos Simpor, Mohd. Syafiq Dendi Abdullah berkata, projek tersebut akan menenggelamkan salah satu jalan utama keluar masuk ke kampung mereka yang akan mengakibatkan masa perjalanan bertambah lima ke enam jam berbanding tiga jam sebelum ini.

Justeru, mereka menggesa kerajaan dan pihak berkaitan untuk membatalkan pembinaan empangan ini kerana ia tidak relevan sebagai penyelesaian jangka panjang yang mampan bagi mengurangkan masalah banjir, kemarau danbekalkan elektrik.

“Kerajaan juga digesa untuk tidak meluluskan aktiviti pembalakan dan perlombongan di kawasan cadangan terutamanya kawasan hutan Gua Musang dan hulu Kelantan kerana ia penyumbang utama kepada krisis banjir dan kemarau,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyarankan  kerajaan memilih alternatif lain yang kurang berisiko seperti mewujudkan beberapa empangan kecil di beberapa kawasan sekitar Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas untuk mengatasi masalah banjir seperti yang dicadangkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Media sebelum ini melaporkan bahawa projek empangan hidroelektrik Nenggiri akan tetap diteruskan meskipun mendapat tentangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebahagian kecil komuniti Orang Asli.

Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan dilaporkan berkata, pihak TNB komited memastikan pembinaan Empangan Nenggiri siap mengikut jadual pada tahun 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya