Rakyat Korea Utara tak boleh sambut hari jadi - Utusan Malaysia

Rakyat Korea Utara tak boleh sambut hari jadi

JIHYUN PARK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang rakyat Korea Utara yang melarikan diri dari negara itu tampil menceritakan perjalanan hidup dan pengalaman ngeri dilalui sepanjang berada di bawah pemerintahan kuku besi.

Wanita yang dikenali sebagai Jihyun Park menceritakan kisahnya melarikan diri dari negara yang sangat tertutup dari dunia luar, untuk mendapat kehidupan lebih baik.

Lapor Daily Mail, Park yang kini mempunyai tiga orang anak mengaku pernah melarikan diri sebanyak dua kali dari Korea Utara.

Katanya, dia terselamat daripada perkahwinan secara paksa, kemiskinan, kebuluran dan jangkitan di negara sendirinya sebelum diberikan suaka di United Kingdom (UK) pada 2008.

“Saya tidak akan pulang semula ke kampung halaman saya di Chongjin di pantai timur Korea Utara.

“Saya masih boleh mengimbau kembali memori zaman kecil tinggal bersama ibu bapa, kakak dan adik di sebuah apartmen kecil yang hanya berukuran 4.64 meter persegi.

“Kami hidup dalam kegelapan dan ketakutan hampir setiap masa, malah jarang bercakap secara bebas kerana dinding apartmen sangat nipis,” katanya.

Kata Park, pihak pengurusan apartmen sering mengumpul maklumat mengenai penduduk yang tinggal di bangunan itu dan diserahkan kepada Jabatan Keselamatan Negara.

Sementara itu, Park mendedahkan antara pengalaman dialami ketika kecil adalah mereka tidak dibenarkan menyambut hari jadi di Korea Utara.

“Saya dilahirkan pada 30 Julai 1968, namun di Korea Utara kami dilarang meraikan ulangtahun kelahiran anak-anak.

“Hanya ulang tahun kelahiran bapa tercinta iaitu pengasas negara Kim II Sung pada 15 April disambut setiap tahun.

“Sudah tentu beliau adalah individu paling penting di dunia dan kita harus menyayanginya. Potretnya ada di mana-mana sahaja termasuk pada lencana merah jaket ibu bapa kami, stesen kereta api, jalanan dan surat khabar,” katanya.

Jelasnya, setiap tahun dia bersama keluarganya akan meletakkan jambangan bunga sempena ulang tahun kelahiran Kim II Sung pada patung gergasi pemimpin itu di taman berhampiran rumah mereka.

“Malah, ibu dan bapa saya membersihkan potret Kim II Sung yang digantung di rumah kami setiap hari dengan kain khas,” katanya.

Di sebalik kesusahan dialami keluarganya, Park mengaku ketika itu dia masih seorang kanak-kanak yang patriotik dan gembira hidup di bawah perlindungan pemimpin itu.

“Dalam perjalanan ke sekolah, kami akan menyanyikan lirik lagu pujian Pi Bada (Lautan Darah) mengenai keberanian warga Korea Utara melawan boneka imperialis Jepun yang biadap.

“Guru memberitahu kami pemimpin negara bekerja keras sepanjang hidupnya untuk membawa kebahagiaan kepada rakyat Korea Utara.

“Justeru, kami perlu berterima kasih kepada mereka atas segala-galanya kerana masih hidup dan mempunyai makanan dan tempat tinggal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya