Bubar Parlimen?: Saya tidak terima e-mel - Siti Zailah - Utusan Malaysia

Bubar Parlimen?: Saya tidak terima e-mel – Siti Zailah

SITI Zailah Mohd. Yusoff (kiri) mendengar penerangan daripada Jacyntha Lo mengenai tilam yang akan diagihkan kepada mangsa banjir dalam Program Bantuan Bencana 1,000 di Mantin, Seremban, hari ini. - UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff memaklumkan, beliau masih belum menerima sebarang e-mel yang dikatakan sebagai petanda awal pembubaran Parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum (PRU).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sehingga pagi tadi, beliau tidak dimaklumkan mengenai kewujudan e-mel berkenaan yang didakwa dihantar kepada semua ahli Parlimen oleh Pejabat Parlimen Malaysia.

“Pagi tadi dalam acara di Istana Negara saya sempat bercakap dengan Speaker Dewan Rakyat. Tidak ada pula dibangkitkan mengenai pembubaran Parlimen malah katanya persidangan Parlimen pada Julai ini akan berjalan mengikut jadual.

“Sekarang ini, macam-macam khabar angin. Saya tak mahu terlibat dalam perbalahan supaya PRU diadakan segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Bantuan Bencana 1,000 anjuran Muhibbah Foodbank Malaysia di Mantin dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Muhibbah Foodbank Malaysia, Jacyntha Lo.

Hari ini, muka depan Utusan Malaysia melaporkan ada dalam kalangan ahli Parlimen menerima e-mel bagi tujuan penamatan pembayaran faedah.

E-mel tersebut yang diterima dari Pejabat Parlimen Malaysia meminta supaya ahli Parlimen mengemas kini maklumat Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen (APAD) yang akan terlibat dengan pembubaran Parlimen, salah satu tanda PRU akan diadakan.

Sumber daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, penerimaan e-mel seperti itu biasanya dikaitkan dengan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat kerana ia tidak dihantar setiap tahun.

Sementara itu, Siti Zailah berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk memberi tumpuan penuh kepada usaha pemulihan ekonomi dan membantu rakyat yang berdepan kesusahan hidup.

Jelasnya, strategi yang tepat dengan kerjasama semua pihak dapat membantu negara pulih daripada kesukaran yang dihadapi ketika ini.

“Mandat pemerintahan kerajaan masih ada hingga pertengahan tahun depan. Semua pihak perlu berlapang dada dan bersabar bagi memastikan usaha yang dilakukan kerajaan mencapai matlamatnya,” jelasnya.

Beliau berkata, mengadakan PRU bukan penyelesaian mutlak kepada masalah ekonomi yang dihadapi ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya