Sanusi dicabar kembalikan mandat rakyat - Utusan Malaysia

Sanusi dicabar kembalikan mandat rakyat

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemuda UMNO mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengembalikan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai satu penghormatan kepada sistem demokrasi berparlimen.

Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Muhammad Sanusi perlu sedar beliau dilantik ke jawatan Menteri Besar bukan kerana Pas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Kedah tetapi setelah huru-hara kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

“Apatah lagi Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahya tewas di DUN Alor Mengkudu pada PRU14 lalu, maka Allah takdirkan beliau dilantik sebagai Menteri Besar mengikut hierarki partinya. 

“Bukan soal siapa atau parti mana yang boleh menang untuk ‘kalut’ mengadakan pilihan raya. Namun selaku pemimpin politik yang bertanggungjawab, beliau harus tahu bahawa demokrasi sewajarnya dikembalikan kepada rakyat setelah dikhianati dan ditipu hidup-hidup oleh PH pada PRU14,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi sebelum ini menegaskan DUN Kedah tidak akan dibubarkan tahun ini walaupun setelah pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15.

Pendirian

Pas juga mengambil pendirian negeri di bawah pentadbiran parti itu hanya akan mengadakan PRN setelah tempoh matang iaitu lima tahun pada tahun depan dari tempoh sidang DUN pertama diadakan selepas PRU14 dahulu pada Mei 2018.

Mengulas lanjut, kata Syed Mohd. Johan Rizal, Menteri Besar itu juga harus tahu jawatan itu atau kedudukan politik bukan satu tiket bagi beliau untuk lupa kebertanggungjawaban kepada prinsip demokrasi dan hak memilih rakyat negeri Kedah dan seluruh negara.

“Mungkin benar kerusi Menteri Besar itu empuk, namun menafikan hak dan mandat rakyat itu akan ditanya Allah di akhirat kelak. Lainlah jika Sanusi sendiri sudah kemaruk dengan kerusi empuk yang diperoleh secara percuma itu. 

“Selesa sangatkah kerusi Menteri Besar itu pada Sanusi yang diperoleh tanpa mandat rakyat? Empuk kerusi Menteri Besar itu menyebabkan Sanusi lupa pada prinsip demokrasi yang menetapkan sesebuah kerajaan itu ditadbir oleh pihak yang benar-benar diyakini dan diberi mandat oleh rakyat? Seronok sangatkah Sanusi jadi Menteri Besar ‘pintu belakang’ hingga lupa pada tanggungjawab itu?” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya