Kes HFMD di Kedah, Perlis meningkat minggu lalu


Dr Mohd Hayati Othman berkata jumlah kes HFMD di Kedah kini 3,403 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2022.

DUA negeri di utara Semenanjung, Kedah dan Perlis mencatat peningkatan kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) bagi minggu epidemiologi (ME) ke-21 iaitu dari 22 hingga 28 Mei.

Di Kedah, pengerusi jawatankuasa kesihatan dan kerajaan tempatan Dr Mohd Hayati Othman berkata sebanyak 1,178 kes baharu penyakit itu direkodkan pada ME-21 berbanding 790 pada minggu sebelumnya sekali gus menjadikan jumlah kes HFMD di negeri itu kini 3,403 kes.

Menurutnya, lima kluster baharu dilaporkan membabitkan satu tadika, satu taska dan tiga prasekolah iaitu empat daripadanya diarah tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sementara sebuah lagi premis tidak ditutup selepas didapati berisiko rendah daripada penyebaran jangkitan.

“Semua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan pesakit luar serta tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, daerah Kuala Muda mencatat bilangan kes tertinggi iaitu 785 kes, diikuti Kubang Pasu dengan 494 kes, Kulim (451 kes) dan Kota Setar (380 kes).

Sementara itu di Perlis, pengarah kesihatan negeri Dr Sirajuddin Hashim berkata, sebanyak 936 kes HFMD direkodkan sehingga kini sejak 1 Januari lalu, peningkatan 10 kali ganda bagi tempoh yang sama bagi 2021 (semasa pandemik) iaitu 109 kes.

Beliau berkata, peningkatan kes mula melebihi paras waspada pada ME-13 (27 Mac-2 April) dengan 15 kes dilaporkan dan meningkat sehingga melebihi paras amaran dengan 28 kes pada ME-14 (3-9 April).

“Kes ini semakin memuncak pada ME-20 (15-21 Mei) dan ME-21 disebabkan aktiviti sosial semasa sambutan Hari Raya. Peningkatan kes ketara berlaku sejak April 2022 berikutan kebenaran aktiviti serta kehadiran penuh di pusat jagaan, taska, tabika, tadika, prasekolah dan sekolah,” katanya.

Beliau berkata, jabatan itu sebelum ini menetapkan indikator kes HFMD pada paras waspada jika 12 kes sehari direkodkan manakala paras amaran iaitu 18 kes sehari.

Sehingga kini, 10 wabak (penularan) dilaporkan di Perlis tahun ini membabitkan lima taska, tiga tadika dan sebuah tabika. Terdapat dua wabak yang masih aktif di sebuah taska dan sebuah tabika. – Bernama, 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen