Pembenihan awan atasi air empangan kolam Bukit Merah susut, kata MB


Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dimaklumkan mengenai paras air di Empangan Kolam Bukit Merah di Bagan Serai yang semakin surut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2022.

KERAJAAN negeri Perak akan menjalankan pembenihan awan untuk mengatasi masalah paras air di Empangan Kolam Bukit Merah di Bagan Serai yang semakin surut.

Menteri Besar Saarani Mohamad berkata ia susulan laporan dibuat oleh pengerusi jawatankuasa perladangan, pertanian dan industri makanan negeri Razman Zakaria pada mesyuarat exco kerajaan negeri dua minggu lalu.

“Kami membuat permohonan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membuat projek pembenihan awan supaya ia akan membekalkan air hujan ke dalam takungan air di tempat berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program menteri besar bersama Rakyat (Mesra) Daerah Larut, Matang dan Selama di Changkat Jering hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan berusaha memberikan peruntukan diperlukan bagi proses pembenihan awan seperti yang dinyatakan Razman bagi membantu petani di kawasan itu.

Saarani turut meminta petani supaya peka akan jadual penyusutan paras air empangan yang lazimnya berlaku setiap tahun dan mengelakkan pembaziran dalam penggunaan air disebabkan sumber terhad.

Ditanya mengenai perkembangan pembinaan terowong air dari Sungai Perak ke kolam Bukit Merah bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air semasa musim kemarau, Saarani berkata, kerajaan negeri masih mengkaji kos projek jangka panjang itu.

Baru-baru ini, Jabatan Pengairan dan Saliran Kerian menerusi laman sosial Facebooknya memaklumkan bekalan air pengairan akan dihentikan secara berperingkat sepenuhnya apabila paras kolam Bukit Merah mencecah paras 6.096 meter.

Menurut pemakluman itu, keutamaan bekalan air dari kolam Bukit Merah kini untuk rawatan air mentah oleh Loji Rawatan Air (LRA) Gunung Semanggol dan Jalan Baru, Parit Buntar.

Susulan itu, orang awam dan pesawah padi dinasihatkan untuk bersama-sama berdoa agar diturunkan hujan di kawasan tadahan kolam Bukit Merah. – Bernama, 30 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen