Cubaan dua lelaki jual diesel 10,000 liter gagal - Utusan Malaysia

Cubaan dua lelaki jual diesel 10,000 liter gagal

ANGGOTA penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menunjukkan tangki tambahan lori yang dirampas dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Krubong, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Taktik sekumpulan individu mengumpul 10,000 liter diesel yang dibeli di stesen minyak sekitar negeri ini untuk dijual semula secara haram tidak berhasil, apabila kesemua bekalan dirampas dalam satu serbuan, semalam.

Bagaimanapun, dua suspek lelaki berjaya melarikan diri dari premis yang dijadikan stor di Kawasan Perindustrian Krubong di sini, dalam serbuan kira-kira pukul 7 petang.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Norena Jaafar berkata, operasi dilakukan daripada hasil risikan dilakukan penguat kuasa selama seminggu membabitkan pemantauan premis dan kenderaan digunakan.

“Kita syaki individu terbabit telah mengumpul bekalan minyak diesel dengan cara membuat isian antara RM300 sehingga RM500 di stesen minyak sekitar Melaka menggunakan lori tiga tan yang telah diubah suai.

“Satu serbuan dilakukan di premis disyaki stor penyimpanan dan menemukan bekalan minyak diesel sebanyak 10,000 liter disimpan di dalam tangki tambahan lori serta sebuah tangki minyak dengan kapasiti 20,000 liter,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan hari ini.

Jelasnya, suspek lelaki yang sebelum itu dilihat melakukan kerja memindahkan minyak dari lori bertindak memanjat tembok belakang premis sebelum meloloskan diri dalam kawasan semak.

Norena berkata, susulan itu pihaknya telah menyita bekalan diesel bernilai RM21,500 dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut termasuk 18 buah tangki tambahan dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM135,000.

“Kita percaya suspek melakukan kegiatan ini sejak seminggu lalu dan cuba memasarkan minyak diesel ini kepada pengguna industri pada harga sekitar RM4 seliter. Kalau penuh tangki 20,000 liter ini, mereka boleh mengaut keuntungan sehingga RM400,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya