Google, YouTube perlu dicukai - Utusan Malaysia

Google, YouTube perlu dicukai

ABD. Jalil Hamid (dari kiri), Mohamad Azlan Jaafar, Jasbant Singh Partap Singh dan Premesh Chandran hadir pada Forum Media Nasional di Hotel Hatten, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan mekanisme cukai kepada penyedia platform enjin carian seperti Google, agar pendapatan besar yang diperoleh entiti itu boleh dikembalikan semula kepada syarikat media tempatan.

Cadangan berkenaan dilontarkan Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia), Mohamad Azlan Jaafar dalam Forum Media Nasional sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022.

Beliau berkata, negara Kesatuan Eropah (EU) seperti Australia dan Perancis sudah melaksanakan cukai berkenaan bagi memastikan pemain industri media dapat bertahan dalam suasana perniagaan yang kian menguncup.

Jelasnya, ini kerana platform enjin carian dilihat membuat keuntungan mudah tanpa perlu memikirkan sebarang kandungan, sebaliknya syarikat media tempatan pula yang menanggung bebanan besar termasuk kos operasi.

“Di negara-negara EU mereka melaksanakan undang-undang yang memaksa platform bayar balik kepada penyedia kandungan. Australia contohnya laksanakan perkara yang sama. Saya rasa Malaysia pun kena fikirkan, kalau kita nak ada industri media yang melonjak, yang kita boleh banggakan.

“Saya harap daripada perbincangan kita ini, kita perlu cukai semula pendapatan yang dijana syarikat seperti Google, YouTube dan sebagainya. Sebahagian daripada pendapatan yang dijana di Malaysia ini, harus cukainya dikembalikan semula kepada industri media,” katanya dalam majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Banda Hilir di sini hari ini.

Forum bertajuk Kewartawanan Era Revolusi Industri Keempat: Cabaran dan Peluang itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini (MHI), Datuk Seri Abd. Jalil Hamid; Pengarah Editorial Free Malaysia Today (FMT), Jasbant Singh Partap Singh dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini.Com, Premesh Chandran.

Tambah Mohamad Azlan, cabaran yang sedang dihadapi majoriti syarikat media pada hari ini bukan sahaja dari segi menyediakan kandungan berkualiti, tetapi juga pendapatan.

“Cabaran media hari ini adalah untuk mengimbangkan antara pendapatan dengan kos yang kita lahirkan untuk mengeluarkan kandungan.

“Sejak tahun 2004 di Amerika Syarikat (AS), 1,800 akhbar telah ditutup. Siapa nak sertai industri yang bergelut untuk memastikan pada 25 haribulan akan ada gaji kepada kakitangan?” Soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya