Kedah tak boleh belanja lebih gara-gara 'setting' orang kaya - Sanusi

Kedah tak boleh belanja lebih gara-gara ‘setting’ orang kaya – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Drama di antara pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor nampaknya masih tidak berkesudahan.

Hari ini, Muhammad Sanusi mengeluarkan komen balas terhadap kenyataan Tunku Ismail bahawa pasukan hebat seperti Kedah Darul Aman tidak memerlukan individu seperti Sanusi kerana beliau tidak mempunyai sebarang sumbangan terhadap bola sepak tanah air.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam Instagram Story turut mempersoalkan, bagaimana Kedah boleh melepaskan dua legenda mereka, yang dipercayai merujuk kepada pemergian Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali ke Sabah.

KENYATAAN Tunku Ismail dalam Instagram Story.

“Sumbangan besar apa kepada siapa?

“Dua pemain yang dikatakan legenda yang telah berhijrah ke Sabah itu memang bagus permainan mereka tetapi gaji mereka berdua boleh digunakan untuk membayar lima orang pemain baru yang tidak kurang hebatnya.

“Dalam keadaan pasukan yang baru saja berhempas pulas menyelesaikan hutang piutang lama berjumlah lebih (RM) 20 juta, faktor gaji pemain dan pembiayaan pasukan bola tentulah menjadi perhatian utama pada musim baru.

“Kita tidak boleh berbelanja lebih daripada kemampuan kita, gara-gara setting orang kaya di pasukan lain yang mengiurkan semua pemain, sehingga kerajaan terpaksa campur tangan memberikan kawasan balak dan kuari untuk membiayai bola sepak,” kata Sanusi dalam akaun Facebook rasminya.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, mereka akhirnya berjaya mengimbangi keperluan membantu rakyat yang rata-rata masih miskin di samping membantu pasukan bola sepak yang membawa nama Kedah dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Katanya, Kedah bukan pasukan super kaya yang harus tunduk sahaja kepada gaya gaji elit yang diset oleh pihak lain yang berkemampuan membeli pemain terbaik pasukan lain untuk dikurung dalam sangkar mereka.

Setting gaji super elit itu menyebabkan banyak pasukan yang bersaing menghadapi masalah kewangan yang turut mengheret kerajaan negeri masing-masing dalam kancah kemelut gaji pemain bola sepak.

BADDROL BAKHTIAR meninggalkan Kedah untuk menyertai Sabah FC.

“Boleh lihat apa yang sedang terjadi dengan pasukan seladang, yang berjiran dengan Kedah. Banyak lagi pasukan lain juga sedang bergelut dengan isu kewangan. Hal inilah yang meruntuhkan industri bola sepak tetapi disangkakan satu sumbangan besar. Alangkah peliknya. Sumbangan besar apa kepada siapa?

“Sabah berkemampuan menawarkan pendapatan dan pengalaman yang lebih kepada mereka selain memilih berada dibawah kendalian jurulatih yang mereka gemari.

“Pertemuan-pertemuan jurulatih dengan pemain dan orang lain sebelum perpindahan itu berlaku pun orang Kedah tahu, tapi itu hak mutlak sebagai pemain dan jurulatih yang menjadi lumrah dalam dunia bolasepak. Namun mendakwa mereka berdua itu berpindah kerana ‘benci atau marah’ dengan seorang orang Kedah tentulah sukar dibuktikan.

Kami tahu apa yang terbaik untuk kami, ikut kemampuan kami. Kamu jaga pasukan kamu, kami jaga pasukan kami, kita berentap saja di padang dengan pengadil yang adil dan saksama. Jangan tambah masa sampai 20 minit pulak sudah laaa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya