Ahli Parlimen Bersatu Sarawak disaran masuk GPS, kata Abdul Karim


Desmond Davidson

Naib Presiden PBB Abdul Karim Hamzah berkata beliau tidak fikir ahli Ali Biju dan Willie Monginitu boleh menang jika bertanding atas tiket Bersatu mahu pun sebagai calon bebas.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2022.

AHLI Parlimen Bersatu Ali Biju dan Willie Mongin digesa tinggalkan parti mereka jika mahu pertahan kerusi masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, gesa Naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Abdul Karim Hamzah berkata beliau tidak fikir ahli Parlimen Saratok dan Puncak Borneo itu boleh menang jika bertanding atas tiket Bersatu mahu pun sebagai calon bebas.

Tambahnya berkata tindakan Ali tidak pertahan kerusi Krian kerusi yang disandangnya sejak tiga penggal pada pilihan raya negeri Disember lalu adalah kesilapan besar, menyebabkan pengundi menentangnya.

Karim, yang juga menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan, berkata sentimen pengundi di Sarawak kini juga terhadap parti tempatan.

“Mereka (pengundi) tidak mahu (ahli politik) bersama DAP, Bersatu atau Umno.

“Jika mereka (Ali dan Mongin) merasakan mereka berjiwa Sarawak, mereka wajib tahu apa yang perlu dibuat. Mereka veteran politik.

“Saya tidak perlu ajar mereka cara berpolitik,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

Pengundi di Sarawak menolak ahli politik yang bersama DAP, Bersatu atau Umno, kata Naib Presiden PBB Abdul Karim Hamzah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2022.

Karim, yang menyifatkan dirinya “dekat” dengan Ali, berkata terdapat beberapa petunjuk daripada timbalan menteri tenaga dan sumber asli yang menang kerusi Saratok atas tiket PKR untuk meninggalkan Bersatu.

“Secara rasmi, tidak ada.”

Katanya beliau telah memberitahu mereka supaya mengetepikan harga diri dan ego mereka untuk bertukar parti.

“Dalam politik, tiada apa yang kekal selama-lamanya,” katanya.

Karim berkata jika Ali dan Willie masih merasakan mereka harus menjadi ahli parti kebangsaan, “maka biarlah”.

Ali dan Willie pernah bertanding di kerusi Parlimen pada PRU 2018 sebagai calon PKR tetapi dipecat oleh parti itu selepas Langkah Sheraton, yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Mengulangi apa yang sering diucap Premier Abang Johari Openg menganai pendirian GPS yang akan meletakkan calon di semua 31 kerusi Parlimen Sarawak, Karim berkata GPS tidak akan berkompromi dengan parti bukan GPS di mana-mana kerusi.

Karim berkata jika Ali dan Mongin memutuskan untuk bertanding di bawah Bersatu, maka akan berlaku pertembungan dengan GPS.

“Kita teruskan. Biar rakyat yang menentukan.

Karim juga berkata tidak ada persetujuan antara GPS dan Bersatu atau janji dibuat kepada Ali untuk beliau menarik diri daripada mempertahankan kerusi Krian pada pilihan raya negeri lalu. – 22 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen