Yusof Yaacob bakal sertai UMNO selepas tinggalkan Warisan - Utusan Malaysia

Yusof Yaacob bakal sertai UMNO selepas tinggalkan Warisan

BUNG Moktar Radin (kanan) bersama Yusof Yaacob pada Jamuan Aidilfitri BN Sabah di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Selepas lebih tujuh bulan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas, akhirnya Datuk Dr. Yusof Yaacob memutuskan untuk menyertai UMNO.

Keputusan itu menjawab teka teki mengenai hala tuju politik bekas Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan) itu selepas beliau keluar daripada parti berkenaan pada 8 Oktober tahun lalu.

Yusof secara terbuka menyatakan kesediaannya menyertai UMNO ketika ditemui semasa Jamuan Aidilfitri Barisan Nasional (BN) Sabah semalam.

ADUN Sindumin itu berkata, borang permohonan telah pun diisi dan beliau masih menunggu masa sesuai untuk mengumumkan perkara itu.

“Saya sudah membuat keputusan cuma belum mengumumkannya. Apa pun, kita harus melupakan perkara yang lalu dan kita kena lihat ke hadapan. Kami sayang generasi muda dan anak-anak muda ini perlu bimbingan. Kami yang berada di atas, tidak banyak yang kami fikir. Kami hanya fikirkan masa depan Sabah dan generasi muda,” katanya.

Menurutnya, beliau sudah menyatakan secara jelas akan menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, itu muktamad.

Jelas beliau, majlis tersebut memperlihatkan semua pemimpin hadir dan itu bermakna pemimpin lama sepertinya sudah bersedia untuk bersama.

“Seperti dikatakan Datuk Bung tadi, kita (di Sabah) sudah jauh ketinggalan jadi, ini masanya untuk pemimpin bersatu.

“Kehadiran Perdana Menteri juga menunjukkan dia mahu bersama rakyat Sabah dan kita akan merapatkan hubungan. Ini adalah asas untuk kita berunding dan menyatakan hasrat apa yang kita mahu untuk Sabah, kita tidak boleh berjauhan dengan pimpinan Pusat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan beliau sentiasa terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin menyertai UMNO.

Katanya, beliau sudah meminta ADUN Sindumin itu berfikir secara mendalam bagi menyertai UMNO semula.

Walau bagaimanapun, secara prinsipnya UMNO Sabah sudah menerima borang permohonan Yusof tapi, perkara itu akan dimaklumkan apabila tiba masanya.

“Sampai masanya nanti, kita maklumkan. Mungkin dalam masa satu dua hari lagi,” katanya selepas Jamuan Aidilfitri BN Sabah semalam.

Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya