Waspada scammer iklan rumah sewa di Mersing

Waspada scammer iklan rumah sewa di Mersing

TANGKAP layar iklan rumah sewa palsu yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab di Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Polis meminta orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran sewa rumah yang diiklankan di laman Facebook khususnya di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Cyril Edrward Nuing berkata, ia berikutan dua individu menjadi mangsa tipu pihak yang menawarkan tawaran iklan rumah sewa tersebut di dalam kumpulan Anak Mersing Official.

Menurutnya, mangsa pertama yang merupakan pekerja kedai makan kerugian RM1,200 selepas membayar deposit kepada suspek.

“Iklan berkenaan menawarkan rumah sewa di Taman Wawasan Mersing untuk kemasukan pada 19 Mei lalu. Pengadu pertama berbincang dengan suspek melalui WhatsApp dan suspek meminta pengadu memasukkan jumlah tersebut dengan segera atas alasan kerana ramai penyewa lain yang mahu menyewa rumah berkenaan. 

“Tanpa fikir panjang pengadu memasukkan wang melalui mesin deposit tunai. Kemudian pengadu telah pergi ke rumah berkenaan dan mendapati terdapat sebuah keluarga yang menetap di situ dan memaklumkan mereka tidak membuat sebarang iklan sewa.

“Mangsa kedua adalah seorang doktor yang turut mencari rumah sewa. Mangsa telah membayar RM500 kepada suspek dan apabila datang untuk masuk ke rumah berkenaan mendapati terdapat orang yang menetap di rumah itu dan menyedari bahawa telah ditipu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Edrward berkata, kedua-dua mangsa melihat iklan yang sama dan telah melakukan transaksi ke atas akaun suspek yang sama pada 14 Mei lalu, manakala siasatan lanjut mendapati iklan tersebut juga telah dipadamkan dari laman Facebook. 

“Kita nasihatkan kepada mereka yang mencari rumah sewa sebelum buat transaksi semak terlebih dahulu rumah itu adakah alamat wujud atau tidak, rumah kosong atau berpenghuni,” katanya. 

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta boleh dikenakan denda. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya