Cadangan Ismail Sabri jadi pengerusi BN hanya satu idea, kata Annuar


Semalam Annuar Musa dilapor berkata, sudah tiba masanya Ismail Sabri Yaakob diberi amanah sebagai Pengerusi BN dan pengarah utama jentera pilihan raya BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2022.

KETUA Bahagian Umno Ketereh Annuar Musa menyifatkan cadangan beliau supaya Ismail Sabri Yaakob diangkat sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu hanyalah sebagai pandangan dan lontaran idea beliau.

Menurutnya, cadangan itu dilontarkan susulan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno mencalonkan Ismail Sabri sebagai perdana menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama komuniti Keluarga Malaysia di Johor Bahru hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berharap perkara itu tidak menjadi isu polemik yang berpanjangan.

“Pada saya tidak perlu berpolemik yang panjang… itu hanya satu pandangan dan yang penting kita menyambut baik apa yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi… itu sebagai satu langkah ke hadapan yang proaktif dan baik yang membolehkan perdana menteri itu sendiri memantapkan lagi kedudukan parti itu sendiri dan kerajaan.

“Itu (cadangan) hanya pandangan saya sebagai ahli Parlimen dan juga ketua bahagian… sama ada ia (pandangan) boleh dilaksanakan atau tidak boleh ia berbalik kepada keputusan Majlis Tertinggi… yang penting apabila parti telah buat keputusan, kita sebagai ahli hendaklah patuh kepada parti,” katanya.

Semalam Annuar dilapor berkata, sudah tiba masanya Ismail Sabri turut diberi amanah sebagai Pengerusi BN dan pengarah utama jentera pilihan raya BN.

Sebagai calon Perdana Menteri juga, beliau berkata, Ismail Sabri perlu diberi seluas-luas ruang untuk mencorakkan pentadbiran yang mampu membawa orde baharu politik negara yang lebih segar, bersih, berintegriti serta mampu memulihkan negara. – Bernama, 16 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen