Burnley pecat Dyche selepas 10 tahun

Burnley pecat Dyche selepas 10 tahun

SEAN DYCHE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Burnley memecat Sean Dyche selepas hampir 10 tahun dia membimbing pasukan itu, yang kini hanya dipisahkan dengan empat mata dari zon penyingkiran ketika saingan Liga Perdana Inggeris berbaki lapan perlawanan.

Dyche adalah pengurus paling lama berkhidmat dalam Liga Perdana selepas menyertai Burnley pada Oktober 2012, di mana dia membawa kelab itu naik ke Liga Perdana dua kali.

Skuad The Clarets yang tewas lima daripada enam aksi terakhir liga utama, berada di tangga ke-18.

Pengerusi Burnley, Alan Pace berkata, ia  ‘satu keputusan yang amat sukar’ untuk berpisah dengan pengendali berusia 50 tahun itu tetapi ‘kami merasakan perubahan perlu dilakukan’.

 

Perlawanan terakhir Dyche adalah membimbing Burnley ketika tewas 2-0 kepada kelab tercorot liga, Norwich City, Ahad lalu.

Penolong pengurus, Ian Woan; jurulatih pasukan utama, Steve Stone dan jurulatih penjaga gol, Billy Mercer turut meninggalkan kelab itu.

“Pertama sekali, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus kepada Sean dan kakitangannya atas pencapaian mereka di kelab sejak sedekad lalu.

“Sepanjang masanya di Turf Moor, Sean menjadi pujaan di dalam dan luar padang, dihormati  pemain, kakitangan, penyokong dan komuniti bola sepak yang lebih luas.

“Bagaimanapun keputusan musim ini mengecewakan, dan walaupun ia keputusan yang amat sukar dengan baki lapan perlawanan penting, kami merasakan perubahan diperlukan bagi memberi skuad peluang terbaik untuk mengekalkan status Liga Perdana.

“Jurulatih bawah 23 tahun Mike Jackson, dibantu oleh pengarah akademi, Paul Jenkins, jurulatih penjaga gol bawah 23 tahun, Connor King dan kapten kelab, Ben Mee telah diminta mengendalikan pasukan untuk perlawanan dengan West Ham United, Ahad ini.

“Proses menggantikan Sean telah bermula dan pengumuman lanjut akan dibuat kepada penyokong dalam masa terdekat,” kata Pace. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya