Menteri, timbalan menteri UMNO sokong Ismail Sabri calon PM - Utusan Malaysia

Menteri, timbalan menteri UMNO sokong Ismail Sabri calon PM

melayu
ISMAIL Sabri Yaakob calon Perdana Menteri PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon tunggal Perdana Menteri daripada UMNO  menjamin kesinambungan dan kelangsungan kepada perancangan serta agenda pemulihan negara pasca pandemik Covid-19. 

Menteri dan timbalan menteri UMNO dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, keputusan itu sekali gus  memberi keyakinan kepada rakyat yang ingin melihat sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Menteri dan timbalan menteri daripada parti UMNO dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri mengambil maklum dan mengalu-alukan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) yang telah menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15.

“Keputusan yang dicapai dalam mesyuarat yang berlangsung semalam secara jelas mencerminkan keterbukaan kepimpinan UMNO yang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan Datuk Seri Mohamad Hasan selaku timbalan presiden,” kata kenyataan itu.

 

Kenyataan bersama

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohd. Sadique; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Turut menyokong  Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib; Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan  Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd. Shahar Abdullah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainal Abidin; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ahmad Masrizal Muhammad.

 

Calon Perdana Menteri

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan memaklumkan, MKT UMNO setuju mengangkat Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri untuk PRU15.

Kenyataan tersebut berkata, keputusan itu juga  manifestasi jiwa besar Presiden UMNO seperti yang terungkap dalam ucapan penggulungan beliau semasa Perhimpunan Agung UMNO 2021  pada bulan lalu.

Jelas kenyataan itu, Malaysia ketika ini sedang melangkah ke fasa peralihan endemik yang mana penumpuan ke arah pemulihan negara sedang giat diusahakan oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri. 

Susulan pandemik Covid-19 yang lebih baik dan terkawal ketika ini, jelas kenyataan tersebut, pengumuman pembukaan lebih banyak aktiviti sosial di dalam fasa ini termasuklah aktiviti

sepanjang Ramadan serta kebenaran merentas negeri untuk sambutan Aidilfitri tidak lama lagi sememangnya dinantikan oleh seluruh rakyat.

Selain itu, keprihatinan Perdana Menteri dalam usaha pemulihan ekonomi rakyat termasuk pelaksanaan perintah gaji minimum baharu tidak lama lagi serta agenda membela nasib rakyat antaranya memastikan kepentingan dan hak wanita seperti yang diumumkan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu juga telah disambut baik dan positif oleh setiap lapisan masyarakat.

“Menteri dan Timbalan Menteri dari parti UMNO mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh kepimpinan UMNO atas keputusan ini dan beriltizam untuk berusaha sehabis baik dalam memastikan segala perancangan pemulihan negara yang sedang berlangsung ketika ini berjalan dengan baik dan lancar sehinggalah Parlimen dibubarkan dan mandat rakyat dikembalikan dalam PRU-15 yang akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya